SUMBANGAN keperluan harian kepada pelajar KUIM di Sungai Kuala Baru. FOTO Nazri Abu Bakar
SUMBANGAN keperluan harian kepada pelajar KUIM di Sungai Kuala Baru. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


PELAJAR dari Indonesia, Sabah dan Sarawak antara 150 pelajar Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) Melaka yang menerima keperluan harian sumbangan Majlis Agama Islam (MAIM) di sekitar kampus itu di Kuala Sungai Baru.

Mereka dalam kalangan siswa yang masih berada di kolej kediaman dan pelajar ‘non resident’ di sekitar pekan dan taman berhampiran di kampus terbabit.

Pegawai penempatan KUIM, Muhammad Shahril Mohd Zin berkata, sumbangan meringankan beban mereka yang juga kini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 14 April depan.

Menurutnya, sumbangan dari MAIM sedikit sebanyak dapat membantu kekurangan bekalan makanan kepada pelajar itu.

“Sebelum ini KUIM turut memberi sumbangan daripada Tabung Kebajikan Hal Ehwal Pelajar dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk wang saku untuk mereka berikutan tidak pulang ke kampung masing-masing bagi mematuhi PKP.

“Malah pihak KUIM menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan malam untuk pelajar sekali gus menjimatkan perbelanjaan mereka sepanjang tempoh ini,” katanya.

Sementara itu, pelajar dari Sabah, Hafiz Sapiee, 21, berkata, dia bersyukur atas keprihatinan MAIM, kolej serta semua pihak yang mengambil berat kebajikan pelajar.

Dia berkata, mereka dianggap seperti saudara sendiri walaupun kini berjauhan dengan keluarga masing-masing.

Dalam masa sama mereka mengharapkan rantaian wabak Covid 19 berjaya dicegah dalam tempoh PKP terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Mac 2020 @ 12:56 PM