Kuala Lumpur: Kejayaan regu negara mengejutkan Thailand sekali gus menjuarai Siri Super Istaf di Melaka baru-baru ini membenihkan kembali minat rakyat negara ini terbabit dalam sepak takraw dan Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) tampil menyediakan satu lagi medan untuk pemain menterjemah bakat masing-masing.

Institusi pengajian tinggi itu berhasrat mengadakan Kejohanan Sepak Takraw Terbuka KUIM pada 7 hingga 8 Mac dan mempelawa pemain seluruh negara terutamanya bakat baru menyertai kejohanan.

Kejohanan terbabit bakal berlangsung di gelanggang sepak takraw KUIM, Kuala Sungai Baru, Melaka.

Penganjur menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan RM3,000 kepada pemenang tempat pertama hingga ketiga dan penyertaan berdasarkan kepada ‘siapa cepat dia dapat’.

Bagi menambah kerancakan kejohanan, penganjur Terbuka KUIM menetapkan setiap regu perlu menyenaraikan seorang pemain negeri, ATM, PDRM, Sukma dan Maksak.

Pegawai Sukan KUIM Mohd Hisyamuddin Mohd Shaid berkata, format kejohanan ialah liga berkumpulan dan kalah mati, tetapi menggunakan sistem kiraan 15 mata yang bakal dijalankan mengikut ‘best of three’.

“Setiap regu dikenakan yuran penyertaan RM80 serta perlu dibayar berserta borang penyertaan lengkap dan dihantar sebelum atau pada tarikh tutup, 27 Februari,” katanya.

Majlis undian pembahagian kumpulan regu diadakan pada 5 Mac jam 8 malam di Bilik Gerakan Majlis Perwakilan Mahasiswa KUIM.

Sebarang pertanyaan mengenai kejohanan boleh merujuk kepada Mohd Hisyamuddin di talian 03-3878406 atau 013-2503496, Mohd Hady Mazalan (012-2149976) dan Mohd Alif Izwan Zainudin (014-8450891).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Februari 2015 @ 8:19 AM