Kaki Noah Ulhaq yang disimen kerana menghidapkan kaki bengkok. FOTO Mohd Amin Jamil
Kaki Noah Ulhaq yang disimen kerana menghidapkan kaki bengkok. FOTO Mohd Amin Jamil
Mohd Amin Jalil


“SEPATUTNYA Adam menjalani pembedahan kaki pada hujung bulan ini, tetapi disebabkan keadaan wabak Covid-19, pembedahan itu mungkin ditangguhkan,” kata Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35.

Justeru, hasrat peniaga di pasar malam dan tapak karnival itu untuk melihat anaknya, Noah Ulhaq atau mesra dipanggil Adam yang berusia dua tahun pulih seperti kanak-kanak lain dalam tempoh terdekat mungkin tidak kesampaian.

Noah menghidap penyakit tulang kaki bengkok selain turut menghidap lima komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia, yang dialaminya sejak kecil.

Mohd Nor Hafiz berkata, anaknya masih dalam rawatan secara berperingkat di Hospital Antarabangsa Bumrungrad, Bangkok, Thailand.

“Mengikut jadual asal anak akan menerima rawatan peringkat keempat di hospital itu termasuk akan menjalani pembedahan kaki pada hujung bulan ini.

“Bagaimanapun ia dijangka tidak dapat dilakukan kerana Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang perlu dipatuhi semua rakyat Malaysia.

“Dalam masa sama dana bagi menampung kos pembedahan dan keperluan lain termasuk penginapan masih kurang sebanyak RM8,000 untuk mencukupkan RM24,000, yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Nusa Intan, Senawang, Seremban, hari ini.

Mohd Nor Hafiz berkata, pihaknya tidak dapat memastikan bila pembedahan bagi meluruskan kaki anaknya itu dapat dilakukan selepas doktor melakukan proses menyimen, akhir Februari lalu.

Menurutnya, beliau sedang berbincang semula dengan pihak pengurusan hospital terbabit bagi menyelaraskan semula tarikh pembedahan berikutan masalah Covid-19 yang turut melanda Thailand.

“Saya tidak pasti sama ada pihak hospital dapat menetapkan tarikh baru atau sebarang tindakan lanjut untuk pembedahan itu kerana Thailand turut berdepan dengan wabak Covid-19.

“Kekurangan dana turut menjadi kekangan, tambahan pula dengan keadaan ketika ini banyak pihak berhadapan kesukaran angkara Covid-19 ini,” katanya.

Berita berkaitan

'Budak 6 penyakit'

'Semoga Noah Ulhaq cepat sembuh'

'Terima kasih atas jasa kalian'

'Ihsan buat Noah'

'Adam hidap noonan'

'Tidak akan mengalah demi Adam'

'Gembira berganti duka'

'Doakan Noah Ulhaq'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 4:54 PM