MOHD Nor Hafiz menunjukkan keadaan  kaki Noah Ulhaq.
MOHD Nor Hafiz menunjukkan keadaan kaki Noah Ulhaq.
Mohd Amin Jalil


“TIADA apa yang saya harapkan selain melihat Adam sembuh dan boleh berjalan seperti kanak-kanak lain,” kata Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35, bapa kepada kanak-kanak lelaki Noah UIhaq berusia dua tahun yang menghidap penyakit tulang kaki bengkok.

Noah Ulhaq yang mesra dipanggil Adam oleh keluarga turut menghidap lima komplikasi kesihatan iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz berkata, dia dan isteri Suhaila Suid, 35, sentiasa mengharapkan anak kedua mereka itu sembuh.

Katanya, Adam disahkan menghidap penyakit itu sejak lahir menyebabkan dia kerap dimasukkan ke hospital selain tidak boleh makan kecuali bergantung kepada susu khas.

“Adam yang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Kuala Lumpur bergantung dengan mesin pernafasan dan perlu berada dalam bilik berhawa dingin kerana masalah paru-paru.

“Namun, dia seorang anak yang aktif walaupun tidak boleh berjalan dengan sendiri kerana kedua-dua kakinya bengkok dari paras buku lali,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Taman Nusa Intan Senawang di sini.

Mohd Nor Hafiz berkata, Adam dikatakan antara 2,000 yang menghidap penyakit kelainan genetik dan penjagaan serta rawatannya menelan kos sebanyak RM2,500 sebulan.

Menurutnya, doktor menyarankan anaknya itu menjalani pembedahan tulang kaki di Bangkok, Thailand, bagi membolehkan Adam berdiri dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

Bagaimanapun, katanya, ia memerlukan kos sebanyak RM23,000 dan dia serta isteri tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu.

“Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga Adam sepenuh masa manakala isteri masih bekerja sebagai kakitangan kerajaan di Shah Alam.

“Saya berniaga makanan kecil-kecilan selain mengambil upah membaiki motosikal untuk menampung kehidupan keluarga dan kos rawatan Adam,” katanya.

“Setakat ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Kuala Lumpur sudi membantu dan sudah mengumpul sumbangan RM3,000,” katanya.

yang amat mengharapkan lebih ramai pihak tampil membantu membiayai kos pembedahan Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:10 AM