MOHD Nor Hafiz di sisi anaknya, Noah Ulhaq. FOTO MOHD AMIN JALIL.
MOHD Nor Hafiz di sisi anaknya, Noah Ulhaq. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


“PADA peringkat awal rawatan bermula semalam (Selasa), doktor di sini, melakukan proses menyimen pada kedua-dua kaki anak saya bagi tujuan meluruskan tulang kaki yang bengkok,” ujar Mohd Nor Hafiz Md Shari, 35.

Dia mengulas proses rawatan awal anaknya, Adam (Noah Ulhaq) berusia dua tahun di Bangkok, Thailand, susulan penyakit tulang kaki bengkok dialami.

Noah turut menghidap lima komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz dari Taman Nusa Intan Senawang, Negeri Sembilan, berkata, dia bersama isteri dan Noah Ulhaq kini berada di Hospital Antarabangsa Bumrungrad Bangkok, Thailand sejak Ahad lalu.

“Pada peringkat awal rawatan bermula semalam (Selasa), doktor di sini melakukan proses menyimen pada kedua-dua kaki anak saya bagi tujuan meluruskan tulang kaki yang bengkok.

“Doktor memaklumkan bahawa Adam akan melalui proses itu beberapa kali bergantung kepada kesesuaian dan keberkesanannya, sekali gus mungkin akan mengambil masa lama sebelum proses pembedahan kaki dijalankan.

“Saya tidak dapat pastikan berapa lama tempoh proses rawatan berkenaan, namun rasa lega dan bersyukur kerana usaha membawa Adam ke sini untuk mendapatkan rawatan terbaik, berjalan dengan baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Nor Hafiz yang menjual air di Dataran Senawang, mengharapkan anaknya itu yang menghidap penyakit berkenaan sejak lahir, dapat pulih dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

Beliau bagaimanapun akui perlu berusaha mendapatkan bantuan orang ramai bagi menampung kos rawatan yang dianggarkan lebih daripada anggaran asal.

Menurutnya, pada peringkat awalnya anggaran kos rawatan termasuk perjalanan dan penginapan berjumlah sekitar RM33,000, namun selepas meneliti semula termasuk proses rawatan yang akan dilalui Noah Ulhaq, kos sebenar yang diperlukan lebih daripada itu.

Katanya, faktor pertambahan kos itu juga turut mengambil kira kadar pertukaran wang asing antara Ringgit Malaysia dengan Baht Thailand.

“Saya perlu mendapatkan dana tambahan RM19,000 lagi untuk memastikan proses rawatan anak tidak tergendala, sebaliknya dapat berjalan lancar sehingga selesai,” katanya.

Harian Metro sebelum ini pernah melaporkan kesukaran keluarga berkenaan untuk mendapatkan dana bagi rawatan anaknya itu sebelum orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu meringankan beban mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 January 2020 @ 6:06 AM