Laporan terdahulu
Laporan terdahulu
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hasrat Mohd Nor Hafiz Md Shari untuk melihat anaknya, Noah Ulhaq pulih daripada pelbagai penyakit dihadapi semakin cerah selepas menjalani prosedur jantung (penutupan ASD) semalam.

Mohd Nor Hafiz Md Shari, 37, berkata, anaknya yang berusia lima tahun itu menjalani prosedur itu di Institut Jantung Negara (IJN) dan kini dalam keadaan stabil.

"Prosedur jantung ini adalah satu daripada fasa pertama rawatan kesihatan Noah yang menghidap empat penyakit serentak sejak lahir.

"Alhamdulillah semuanya lancar dan saya berharap dia cepat pulih untuk menjalani proses rawatan berikutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Noah menghidap masalah tulang bengkok dan tiga komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz berkata, dia dimaklumkan selepas ini Noah akan menjalani rawatan untuk membetulkan tulang kaki bengkok di bawah pengawasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Difahamkan proses rawatan itu akan dilakukan dengan kerjasama sebuah pusat perubatan di Korea Selatan tanpa membawa Noah ke sana," katanya.

Kisah kanak-kanak malang itu pernah dilaporkan Harian Metro selepas urusan rawatan untuknya tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan kekangan kewangan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2023 @ 12:24 PM