Mohd Nor Hafiz di sisi anaknya, Noah Ulhaq yang menghadapi enam komplikasi kesihatan di rumah mereka di Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Nor Hafiz di sisi anaknya, Noah Ulhaq yang menghadapi enam komplikasi kesihatan di rumah mereka di Senawang. FOTO Mohd Amin Jalil.
Mohd Amin Jalil


"SAYA ingin melihat Noah Ulhaq sihat seperti kanak-kanak lain. Kerana itu saya mengharapkan proses rawatan dia dapat diteruskan selepas tergendala akibat pandemik Covid-19," ujar Mohd Nor Hafiz Md Shari.

Noah Ulhaq, berusia dua tahun menghidap penyakit tulang kaki bengkok selain lima komplikasi kesihatan lain iaitu sindrom noonan (kelainan genetik), jantung berlubang, angin pasang, jangkitan kuman dalam paru-paru dan talasemia.

Mohd Nor Hafiz, 35, berkata, kedua-dua kaki Noah Ulhaq sudah disimen pada Mac lalu ketika menerima rawatan di Hospital Antarabangsa Bumrungrad, Bangkok, Thailand, yang menjadi sebahagian daripada proses rawatannya.

Menurutnya, anak sulung daripada dua beradik itu sepatutnya menjalani pembedahan kaki pada 30 April lalu di hospital sama namun disebabkan masalah Covid-19, pembedahan itu tertangguh.

"Atas arahan doktor, simen di kakinya terpaksa dibuka baru-baru ini kerana ia tidak boleh terlalu lama dan kini keadaan Noah Ulhaq seolah-olah seperti sebelum menerima rawatan.

"Dia perlu diberikan perhatian dan pengawasan yang lebih kerana keadaan kakinya yang bengkok ke arah dalam dikhuatiri boleh membahayakan dirinya.

"Saya terpaksa memantau dan menjaganya dengan baik ketika tarikh rawatannya di Bangkok belum dapat dipastikan lagi," katanya ketika di rumahnya, di Taman Nusa Intan Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

Mohd Nor Hafiz, yang berniaga kecil-kecilan menjual takoyaki di Paroi berkata, setakat ini Noah sudah menerima sebanyak tiga kali rawatan di hospital berkenaan dan perlu menerima tiga peringkat lagi termasuk menjalani pembedahan kaki.

Katanya, beliau dan isteri Suhaila Suid, 35, tetap menaruh harapan agar proses rawatan buat Noah Ulhaq yang juga mesra dipanggil Adam, dapat diteruskan.

Menurutnya, beliau berusaha gigih mengumpulkan wang untuk menampung kos rawatan anaknya itu kerana dana sumbangan orang ramai berjumlah RM15,000 sudah digunakan sebahagiannya, bagi menampung kos Noah yang memerlukan sekitar RM2,500 sebulan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya masih mengharapkan sumbangan orang ramai untuk menampung kos rawatannya kelak yang dianggarkan mencecah sekitar RM25,000," katanya.

Katanya, dalam apa juga keadaannya, dia tetap berusaha untuk selesaikan proses rawatan Noah kerana mahu melihat dia sihat.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Mohd Nor Hafiz, di talian 011-16650548.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 6:58 PM