TUNE HOTELS cawangan PWTC. FOTO Facebook Tune Hotels.
TUNE HOTELS cawangan PWTC. FOTO Facebook Tune Hotels.

TUNE HOTELS cawangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, menawarkan penginapan percuma untuk mana-mana kakitangan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang baru selesai syif panjang.

Ia sebagai sokongan terhadap kakitangan terbabit menjadi antara barisan hadapan dalam merawat dan mengekang penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19) di negara ini.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Yayasan ECM Libra dan disokong oleh Kumpulan Ormond, selepas menyedari ramai kakitangan perubatan HKL kini terpaksa tidur di kaki lima hospital berikutan terpaksa bekerja untuk tempoh lama.

Mereka kemudian terpaksa melapor diri untuk syif seterusnya.

Semua 130 bilik di hotel berkenaan yang terletak berhampiran dengan HKL kini ditawarkan untuk kakitangan berkenaan dan mereka turut diberikan sarapan pagi.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ECM Libra Datuk Seri Kalimullah Hassan berkata, pihaknya komited untuk membantu semua pihak terjejas akibat Covid-19, terutamanya golongan memerlukan dan kakitangan perubatan yang menjadi barisan hadapan dalam mencegah penularan wabak itu.

“Kakitangan berkenaan menunjukkan komitmen yang tinggi dan sanggup mengambil risiko setiap hari untuk kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Penginapan percuma itu bermula semalam sehingga tempoh 30 hari.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2020 @ 10:02 AM