TONY menunjukkan kediaman yang diuruskan SubHome.
TONY menunjukkan kediaman yang diuruskan SubHome.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Tune Plato Ventures Sdn Bhd, syarikat gabungan antara Tune Group dan ECM Libra Financial Group Bhd memperoleh 50 peratus pegangan dalam SubHome Management Sdn Bhd (SubHome), platform perkongsian kediaman.

SubHome mengurus dan memasarkan portfolio sewa kediaman dan menawarkan perkhidmatan hotel lengkap untuk pelancong dan pelancong perniagaan yang mencari penginapan alternatif.

Pengasas Bersama Tune Group Tan Sri Tony Fernandes berkata, SubHome memberi peluang kepada tetamu menginap di kediaman sama seperti suite pada harga menarik.

“Tune Hotel dan SubHome berkongsi sinergi hebat dan kami menawarkan tetamu kami tempat penginapan terbaik dan selesa kerana SubHome mempunyai pasukan yang dapat menyediakan sokongan dan kawalan operasi menerusi sistem, proses dan kepakaran di Tune Hotel.

“Tune akan melabur dalam perniagaan menarik dan mempunyai potensi besar dalam portfolio kami,” katanya di sini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SubHome Sandeep S Grewal.

Sandeep berkata, model perniagaan SubHome menawarkan penyelesaian kepada pemaju yang mempunyai inventori sedia ada atau tidak terjual untuk mengubahnya menjadi penjana pendapatan.

Beliau berkata, SubHome menyasarkan 3,000 unit dan merancang meneroka pasaran di luar Malaysia menjelang akhir tahun depan terutama di Bangkok dan Chiang Mai, Thailand.

“SubHome bekerjasama dengan pemaju hartanah di Malaysia dan di seluruh rantau ini untuk memberi penyelesaian hospitaliti sama seperti Gamuda di The Robertson Bukit Bintang.

“Ini memberikan SubHome skala segera sementara mengurangkan kebimbangan pemaju ke atas inventori berlebihan,” katanya.

Pada masa ini, SubHome mengendalikan 417 unit penginapan dan merancang berkembang ke Selangor, Pulau Pinang dan Kota Kinabalu dalam tempoh terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 12:00 PM