Amir Abd Hamid


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa orang ramai tidak menjalani ujian Covid-19 melalui teknik rapid test kit (RTK) yang kini terdapat di pasaran sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat dari pengamal perubatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana ia berpotensi menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian diperolehi.

Beliau berkata, ujian pengesanan dijalankan di makmal fasiliti kesihatan kerajaan bagi mengesan jangkitan Covid-19 menggunakan teknik Real-Time Reverse TranscriptionPolymerase Chain Reaction (rRT-PCR).

“Ujian rRT-PCR dijalankan akan mengesan kehadiran virus Covid-19 yang terdapat di dalam badan pesakit. Justeru, ujian rRT-PCR Covid-19 yang positif bermaksud individu berkenaan sudah dijangkiti.

“Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRTPCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit Covid-19 yang berkesan. Manakala ujian melalui teknik RTK yang kini terdapat di pasaran adalah bagi mengesan antibodi yang terhasil di dalam badan akibat jangkitan dialami.

“Antibodi muncul di dalam badan sekitar lima hingga lapan hari selepas jangkitan. Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak dapat mengesan virus dan membuat pengesahan pantas jangkitan. Ini menyebabkan ia tidak dapat membantu dalam pengesanan awal kes Covid-19. Justeru, ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham turut mengulangi nasihat KKM supaya orang ramai berada di rumah sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Orang ramai dinasihatkan terus mengekalkan jarak sosial lebih dari satu meter antara satu sama lain. Adalah digalakkan untuk melakukan aktiviti di rumah bersama ahli keluarga,” katanya.

DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO Bernama

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Mac 2020 @ 8:55 PM