GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Individu yang sudah dijangkiti Covid-19 serta selesai menjalani kuarantin tidak perlu membuat ujian ulangan bagi memastikan tiada lagi virus berkenaan di dalam badan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana ujian seperti Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) itu sangat sensitif dan akan mengesan kehadiran genetik virus berkenaan.

"RT-PCR ini sangat sensitif dan akan mengesan kehadiran genetik itu dalam saluran pernafasan dalam tempoh dua hingga tiga bulan selepas dijangkiti, misalnya dalam tempoh 'viral shedding.'

"Namun virus berkenaan sudah tidak dapat membiak dan individu itu (dijangkiti Covid-19) tidak mungkin boleh menyebarkan jangkitan kepada orang lain," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr Noor Hisham, seseorang itu boleh dijangkiti Covid-19 jika mereka berada berdekatan dengan pesakit Covid-19 yang batuk atau bersin dan virus itu boleh tersebar terutamanya antara individu yang mempunyai kontak rapat.

"Jangkitan berlaku apabila titisan yang mengandungi virus dihirup melalui udara atau bersentuhan langsung dengan mata, hidung atau mulut seseorang. Virus ini lebih mudah merebak dalam persekitaran tertutup yang kurang ventilasi dan sesak.

"Ujian RTK antigen (RTK-Ag) biasanya boleh mengesan jangkitan pada hari ketiga hingga ketujuh selepas seseorang terdedah kepada pesakit Covid-19, manakala RT-PCR boleh mengesan jangkitan seawal hari kedua hingga hari-14 selepas dijangkiti.

"Justeru itu, ketepatan ujian RTK-Ag dan RT-PCR adalah bergantung kepada tempoh jangkitan sewaktu sampel diambil. Penggunaan RTK-Ag adalah disarankan kepada individu bergejala atau berada dalam kumpulan berisiko tinggi sekiranya tidak bergejala," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM meluluskan penggunaan RTK-Ag sebagai suatu kaedah alternatif pengujian Covid-19 selain RT-PCR.

"Ini kerana RTK-Ag membantu memudahkan proses pengesanan dan pengawalan jangkitan Covid-19 kerana kaedah ini adalah ringkas, mudah, murah dan boleh dilakukan di lapangan.

"Proses pengujian RTK-Ag adalah pantas dan keputusan ujian boleh diperolehi dalam masa 20 hingga 30 minit. KKM menyarankan semua ujian RTK-Ag secara kendiri, professional ataupun RT-PCR yang dijalankan perlu dilaporkan kepada KKM melalui MySejahtera atau Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

"Laporan itu boleh diberikan tidak kira sama ada keputusannya positif atau pun negatif, ia bagi membantu KKM mendapatkan gambaran lebih jelas kadar jangkitan yang berlaku di dalam komuniti," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, RTK-Ag yang diluluskan penggunaannya di negara ini perlu mempunyai sekurang-kurangnya 95 peratus kadar sensitiviti dan 95 peratus kadar spesifisiti.

"Oleh itu, terdapat kemungkinan lima peratus berlaku keputusan 'false positive' atau 'false negative.' False positive berlaku apabila kit memberi keputusan positif bagi individu yang tidak dijangkiti.

"Antara faktor penyumbang yang menyebabkan keadaan ini adalah jangkitan silang dari pesakit Covid-19 atau kontaminasi virus dari persekitaran. Manakala false negative berlaku apabila kit berkenaan tidak dapat mengesan kehadiran antigen dalam pesakit yang dijangkiti Covid-19.

"Ia mungkin disebabkan teknik pengambilan sampel yang salah dan masa sampel diambil di luar tempoh jangkitan," katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, semua kit ujian Covid-19 yang dibawa masuk ke negara ini perlu melalui penilaian oleh Jawatankuasa Expert Committee dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA).

"Jawatankuasa ini bertindak menyaring dan memutuskan sesuatu kit itu layak dan disyorkan untuk berada di pasaran berdasarkan prestasi kit ujian selepas melalui evaluasi atau penilaian makmal di pusat evaluasi terpilih iaitu Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC), Institut Kanser Negara (IKN), Hospital Kuala Lumpur (HKL), dan Hospital Sungai Buloh (HSgB).

"Sehingga 18 Februari lalu, terdapat 128 kit ujian kendiri di pasaran yang mendapat rekomendasi ini. Kit ini juga sudah diluaskan penjualannya bukan saja di farmasi dan fasiliti kesihatan, malah ia juga mudah didapati di kedai terpilih.

"Pihak MDA turut memantau keselamatan dan prestasi kit ujian kendiri yang mendapat kelulusan bersyarat dari semasa ke semasa. Sekiranya terdapat sebarang isu dengan kit ujian kendiri yang digunakan, orang awam dinasihatkan melaporkan kepada pembekal yang menjual kit ujian berkenaan dan MDA.

"Justeru, KKM amat menyarankan supaya orang awam mengoptimakan ujian RTK-Ag kendiri sebagai ujian saringan bagi mengesan jangkitan Covid-19 dan membuat laporan kendiri bagi keputusan ujian melalui aplikasi MySejahtera," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, langkah itu penting bagi memastikan masyarakat boleh menjalankan aktiviti harian dengan selamat dan membantu negara meneruskan pemulihan dan pertumbuhan sosioekonomi negara dengan lebih mampan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 12:57 PM