TINJAUAN di pasar raya NSK cawangan Taman Sentosa sarat dengan orang ramai yang membeli belah barang keperluan harian dan makanan susulan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuatkuasa 18 Mac (RABU) hingga 31 Mac selama 14 hari  sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19. FOTO Osman Adnan
TINJAUAN di pasar raya NSK cawangan Taman Sentosa sarat dengan orang ramai yang membeli belah barang keperluan harian dan makanan susulan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuatkuasa 18 Mac (RABU) hingga 31 Mac selama 14 hari sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19. FOTO Osman Adnan
Raja Noraina Raja Rahim


ORANG ramai menyerbu pasar raya sejak awal pagi hari ini untuk membeli barangan keperluan asas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa pasar raya sekitar Lembah Klang dan Selangor mula dipenuhi orang ramai sejak 8 pagi.

Di Pasaraya Tesco Puncak Alam, barangan asas seperti bawang, sayur-sayuran dan barang basah semakin berkurangan, selain rak makanan dalam tin mulai kosong.

Begitu juga di Pasaraya Econsave Puncak Alam, orang ramai terpaksa beratur panjang untuk membuat pembayaran, selain Mydin Subang Jaya juga mengalami kesesakan sama.

Pihak pengurusan Mydin turut membuat pengumuman beberapa barangan seperti minyak, beras, gula pasir, susu pekat manis, susu bayi dan lampin serta penutup mulut dan hidung dihadkan pembelian.

Pesara kerajaan Hassan Othman, 65, berkata dia dan isterinya sudah ke kedai runcit berdekatan rumah untuk membeli beras, namun kehabisan stok.

“Disebabkan itu, kami datang ke Econsave Puncak Alam beli beras dan barangan keperluan lain.

“Saya lihat orang ramai buat pembelian yang banyak mungkin untuk menampung keperluan sepanjang 14 hari ini. Saya cuma beli apa yang perlu saja,” katanya.

Katanya, orang ramai tidak perlu membuat pembelian panik meskipun perintah kawalan pergerakan diumumkan kerajaan kerana masih boleh ke pasar raya untuk membuat pembelian.

Selain itu, pelanggan Anita, 35, berkata dia terpaksa mengambil cuti hari ini untuk datang ke Mydin Subang Jaya kerana barangan asas habis di pasar raya berhampiran rumahnya.

“Semalam saya ke pasar raya di Shah Alam tetapi banyak yang habis. Alhamdulillah, di sini (Mydin) masih banyak walaupun beratur panjang,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2020 @ 3:21 PM