KPDNHEP Kuala Lumpur akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada esok dan Ahad.
KPDNHEP Kuala Lumpur akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada esok dan Ahad.
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) pada esok dan Ahad.

KPDNHEP Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan, program inisiatif kerajaan bagi menangani kos sara hidup itu dijalankan di 11 pasar raya sekitar ibu kota.

"PJKM menawarkan pelbagai pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan barangan keperluan asas dan harian seperti gula, tepung, beras, minyak masak, barang makanan proses, sayuran, telur ayam dan lain-lain dengan harga lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.

"Pasar raya yang menyertai program ini memberikan komitmen untuk memberi pelbagai promosi harga dan tawaran jualan murah bagi barang keperluan asas," kata kenyataan itu.

Antara lokasi PJKM terbabit adalah AEON Mall Metro Prima, Kepong; Ong Tai Kim Supermarket Sentul, Batu; AEON Big Danau Kota, Wangsa Maju; Lotus Kepong, Segambut; ST Rosyam Mart Sdn Bhd, Setiawangsa.

Pasaraya AJ Best, Titiwangsa; Hero Berjaya Times Square & Lulu Hypermarket, Bukit Bintang; Checkers Sri Sentosa, Lembah Pantai; Econsave Scott Garden, Seputeh; NSK Trade City (KL) Sdn Bhd, Cheras serta Pasaraya Borong Big, Bandar Tun Razak.

Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban perbelanjaan isi rumah rakyat, selain menjadi pemangkin kepada pengguna untuk merancang pembelian dan membuat pilihan bijak.

"PJKM akan diteruskan secara berkala selaras dengan hasrat kerajaan bagi memastikan pengguna mendapat barangan keperluan asas pada harga yang terbaik," katanya.

KPDNHEP mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak sebagai pengguna manakala peniaga pula harus mengamalkan sikap beretika dalam menjalankan perniagaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Disember 2021 @ 4:07 PM