FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Suraya Roslan


MALAYSIA Airlines menggantung sementara penerbangan ke Seoul membabitkan laluan dua hala bermula esok hingga 31 Mac susulan penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan berkata, berkuat kuasa esok, kerajaan Malaysia mengenakan sekatan perjalanan kepada semua rakyat Iran, Itali dan Korea Selatan manakala rakyat Malaysia yang pulang dari negara berkenaan akan dikenakan kuarantin selama 14 hari.

“Disebabkan oleh sekatan itu, Malaysia Airlines menggantung sementara penerbangan 12 kali seminggu antara Kuala Lumpur dan Seoul sehingga 31 Mac 2020.

“Malaysia Airlines akan mengendalikan penerbangan terakhirnya pada hari ini melalui pesawat MH66 dari Kuala Lumpur ke Incheon dan pulang pada 13 Mac 2020 melalui MH67 dari Incheon ke Kuala Lumpur.

“Penumpang yang terjejas berhak meminta tarikh perjalanan alternatif lain sehingga 31 Disember 2020, meminta bayaran balik sepenuhnya atau memilih untuk dialihkan ke destinasi lain di China (Shanghai, Beijing, Guangzhou, Hong Kong atau Xiamen) atau Jepun (Narita dan Osaka),” katanya.

Menurutnya, bayaran yang dikenakan untuk bayaran balik dan perjalanan alternatif akan diketepikan, bagaimanapun sebarang perbezaan tambang kerana perubahan pada tarikh perjalanan atau laluan akan dikenakan.

“Penumpang boleh menghubungi Pusat Hubungan Global kami di 1-300-88-3000 (di Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia) untuk memulakan transaksi ini,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Mac 2020 @ 4:17 PM