GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


KERAJAAN Sarawak melaksanakan langkah ketat dengan melarang warga Itali dan Iran masuk ke negeri ini berkuat kuasa sejak beberapa hari lalu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia antara langkah terbaru kerajaan Sarawak untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Untuk memastikan Sarawak terus bebas daripada wabak itu, dasar imigresen juga dikuatkuasakan untuk melarang semua warga asing yang memiliki sejarah perjalanan ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari yang lalu daripada memasuki negeri ini.

“Semua rakyat Malaysia (bukan pemastautin Sarawak) yang pernah ke empat negara terbabit dalam tempoh 14 hari juga adalah dinasihatkan supaya tidak melawat Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, rakyat Sarawak, pemastautin tetap, pekerja dan pelajar yang pernah ke China, Korea Selatan, Itali dan Iran dalam tempoh 14 hari wajib menjalani kuarantin di rumah.

“Mereka adalah tertakluk kepada pemantauan pihak berkuasa perubatan,” katanya.

Katanya lagi, semua pelawat dari negara dan wilayah yang terjejas Covid-19 seperti Perancis, Sepanyol, Jerman, Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Indonesia, Brunei dan Semenanjung perlu mematuhi garis panduan pencegahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan Sarawak di semua pintu masuk ke negeri ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2020 @ 4:43 PM