Shahrinnahar Latib


BIMBANG ditangkap kerana mempunyai tunggakan bayaran pinjaman, seorang jururawat kerugian RM7,682 selepas diperdayakan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai bank di Kuantan, awal bulan ini.

Mangsa wanita berusia 40 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank daripada Alliance Bank pada 1 Mei lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek lelaki berkenaan memberitahu mangsa mempunyai tunggakan bayaran pinjaman berjumlah RM3,314 di Alliance Bank Pulau Pinang.

“Suspek menggugut mangsa dengan mendakwa sekiranya tidak menjelaskan tunggakan pinjaman itu dengan segera, mangsa akan ditangkap.

“Mangsa diarahkan membuat laporan atas talian dan panggilan disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dan bercakap dengan seorang wanita yang memperkenalkan sebagai Koperal Isma,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, panggilan berkenaan kemudian disambung kepada suspek ketiga yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Fadilah Ramli sebelum meminta mangsa pergi ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) terdekat.

“Mangsa mengikut permintaan suspek sebelum memindahkan semua wangnya ke akaun Hong Leong Bank diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM7,682.

“Setelah memindahkan wang berkenaan, mangsa menghubungi Alliance Bank dan dimaklumkan tiada pinjaman dibuat di atas namanya.

“Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu kemudian membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, dalam kes berasingan, seorang jurujual wanita berusia 31 tahun kerugian RM3,200 selepas diperdaya sindiket Parcel Scam awal bulan ini.

“Kejadian pada 2 Mei lalu ketika mangsa menerima panggilan daripada syarikat penghantaran barang yang menyatakan barang kiriman dari luar negara miliknya sudah sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Mangsa diminta membuat bayaran bagi mendapatkan barangan berkenaan. Pada hari sama, mangsa memindahkan wang RM3,200 kepada suspek dalam akaun Maybank yang diberikan kepadanya,”" katanya.

Beliau berkata, suspek sekali lagi meminta wang kerana mendakwa bungkusan berkenaan mengandungi duit berjumlah USD80,000 (RM316,040), namun mangsa berasa seperti ditipu sebelum membuat laporan polis di IPD Kuantan.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan pihaknya sedang mengesan semua suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 5:18 PM