Shahrinnahar Latib


SEORANG suri rumah di Jerantut, kerugian RM9,000 selepas ditipu lelaki yang menyamar pegawai polis dengan mendakwa dua anaknya ditahan kelmarin.

Mangsa berusia 54 tahun menerima panggilan daripada lelaki yang memperkenalkan diri Inspektor Zulkarnain bertugas di Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, suspek memberitahu dua anak mangsa ditahan polis dan dia perlu membayar RM5,000 untuk melepaskan mereka.

Beliau berkata, mangsa dari FELDA Jengka 24 kemudian diminta ke sebuah bank di pusat bandar di sini.

“Pada hari sama, mangsa memindahkan wang RM5,000 dari akaun Bank Rakyat ke dalam akaun Maybank yang diberikan suspek.

“Mangsa kemudian menerima panggilan semula daripada ‘Inspektor Zulkarnain’ yang memberitahu wang yang diterima tidak mencukupi dan perlu ditambah RM4,000,” katanya, hari ini.

Beliau berkata, mangsa memindahkan lagi wang ke dalam nombor akaun lain yang diberikan suspek.

Selepas itu katanya, mangsa diminta menunggu 30 minit di hadapan IPD Jerantut.

Mohd Wazir berkata, mangsa yang menunggu hampir sejam tidak menerima sebarang panggilan daripada suspek menyebabkannya menyedari ditipu dan masuk ke dalam balai untuk membuat laporan polis.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Mohd Wazir berkata, kakitangan kerajaan kerugian RM1,450 selepas diperdaya lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Datuk Zainuddin’ yang menawarkan motosikal lelong tidak wujud di Kuantan.

Beliau berkata, kejadian pada 21 Mac lalu apabila mangsa berusia 25 tahun menghantar WhatsApp kepada individu berkenaan untuk membeli dua motosikal lelong pada harga RM1,450.

“Mangsa kemudian memasukkan wang berkenaan ke dalam akaun yang diberikan suspek yang berjanji motosikal itu akan dihantar melalui kurier.

“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa tidak menerima motosikal terbabit malah suspek gagal dihubungi,” katanya yang membuat laporan polis di IPD Kuantan.

Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:24 PM