SALAH satu daripada 18 cawangan Klinik Adham di Sri Saujana. FOTO Omar Ahmad
SALAH satu daripada 18 cawangan Klinik Adham di Sri Saujana. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


PELANTIKAN Ahli Parlimen Tenggara Datuk Seri Dr Adham Baba sebagai Menteri Kesihatan disambut gembira serta penuh syukur oleh masyarakat setempat.

Peneroka Felda Sungai Sibol Mohd Yusof Badri, 66, berkata, warga peneroka bersyukur dan berpuas hati dengan pelantikan Dr Adham yang disifatkan sebagai wakil rakyat yang prihatin dan kuat bekerja.

“Dr Adham amat disenangi masyarakat setempat dan pelantikannya amat dinantikan.

“Kami tentu saja bersyukur, gembira dan teruja dengan pelantikannya. Dr Adham memang layak menjawat jawatan berkenaan.

“Bukan itu saja malah Dr Adham memang diketahui masyarakat setempat sebagai individu yang kuat bekerja, tidak kira waktu,” katanya ditemui hari ini.

Suri rumah, Zuraidah Hamat, 66, berkata, sepanjang tiga penggal ini, Dr Adham tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Katanya, dia sangat bangga, bukan sahaja Dr Adham dilantik sebagai menteri malah Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique turut mewarnai barisan menteri kabinet sebagai Menteri Perpaduan.

“Pada saya yang sudah menjadi rakyat di bawah pimpinan Dr Adham selama tiga penggal, dia memang boleh bekerja untuk rakyat.

“Masa hari pengumuman barisan kabinet, memang kita semua tunggu. Alhamdulillah, syukur, menteri memang boleh bekerja dan berkelayakan,” katanya.

Untuk rekod, Dr Adham, 57, berkelulusan Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) dari Universiti Malaya pada 1987.

Dr Adham pernah bertugas sebagai Pegawai Perubatan di Kementerian Kesihatan daripada 1988 hingga 1990.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor ini memulakan kerjaya sebagai doktor perubatan dalam sektor swasta pada 1990 hingga kini dan memiliki 18 rangkaian Klinik Adham Sdn Bhd.

Dr Adham memulakan karier politik dan bertanding sebagai calon atas tiket Barisan Nasional (BN) pada 2004 hingga 2008 sebagai Ahli Parlimen Tenggara.

Pada tahun berikutnya, Dr Adham bertanding sebagai ADUN di DUN Pasir Raja.

Pada Pilihan Raya Umum lalu, Dr Adham memenangi kawasan Parlimen Tenggara selepas menewaskan Norjepri Mohamed Jelani daripada BERSATU dan Yuhanita Yunan daripada PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Mac 2020 @ 3:23 PM