Adham Baba (tengah) sempat melawat gegerai pameran  pada Persidangan dan Pameran AIBP 2022, Royale Chulan Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Adham Baba (tengah) sempat melawat gegerai pameran pada Persidangan dan Pameran AIBP 2022, Royale Chulan Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: "Saya adalah Ketua Umno Bahagian Tenggara dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tenggara. Itu sayalah," kata Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada bakal dicalonkan semula untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tenggara pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Katanya, beliau kini mahu memberi tumpuan untuk memastikan kesemua jentera parti negeri itu bersedia menghadapi pilihan raya berkenaan sekali gus mempertahankan kubu kuat BN.

"Apabila Perdana Menteri dan Presiden BN tanya persiapan, saya beritahu kita sudah bersiap sedia dalam pelbagai sudut untuk berhadapan PRU-15.

"Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan tentu sekali kita akan pertahankan Parlimen yang dimiliki BN, dan mencari jalan untuk cuba memenangi kerusi Parlimen yang kita kecundang sebelum ini," katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata demikian selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Platform Usahawan Inovasi Asean Ke-36 (AIBP) di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dilaporkan meletak sasaran memenangi 16 kerusi Parlimen di Johor pada PRU-15 berbanding sasaran 20 kerusi ditetapkan Umno Pusat.

Sasaran itu berdasarkan kajian yang dibuat oleh Biro Penerangan membabitkan veteran, cawangan, bahagian, pemuda, puteri dan wanita.

Adham berkata, apa yang menjadi keutamaan adalah memberi penerangan dan penjelasan kepada seluruh rakyat supaya memberi kepercayaan kepada BN untuk menstabil serta memakmurkan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 12:35 PM