MOHD Hazrin yang dilaporkan hilang. FOTO Ihsan bomba.
MOHD Hazrin yang dilaporkan hilang. FOTO Ihsan bomba.
Mohd Rashidi Yusuf


PEMUDA menghidap kemurungan dilapor hilang sejak Rabu lalu selepas keluar dari rumahnya di Felda Papulut, Gerik.

Mohd Hazrin Hamzah, 26, dilapor keluar bersendirian sejak 7 pagi dan menghala ke kawasan ladang getah.

Ketua Polis Daerah Gerik Superitenden Ismail Che Isa berkata, ibu lelaki itu, Suriana Mohd Marzuki, 47, membuat laporan kehilangan, semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan.

Katanya, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dibuka di Dewan Orang Ramai Felda Papulut, manakala SAR bermula di sekitar ladang getah.

“Mangsa dikatakan keluar sendirian sejak 7 pagi kelmarin dan tidak pulang. Dia berkulit sawo matang, kurus dan ketinggian 160 sentimeter,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, SAR disertai 10 anggotanya bersama 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan penduduk kampung.

Operasi yang ditangguhkan pada 7 malam semalam, disambung semula pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 10:37 AM