ONG Teck Hong
ONG Teck Hong
HM Digital

Jasin: Pemandu lori maut selepas dilanggar lori dipandu rakannya yang mengundurkan kenderaan itu dalam kejadian di ladang getah, di KM 7 FELDA Air Kangkung, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa Ong Teck Hong , 51, berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan, maut di tempat kejadian akibat tersepit antara lori dan sebuah lagi jentera pembersih ladang.

Difahamkan, mangsa yang juga pemandu lori meletakkan lorinya tidak jauh dari lokasi kejadian untuk menikmati sajian makan tengah hari.

Ketika mangsa hendak mengambil makan tengah hari, sebuah lori dipandu rakannya berusia 62 tahun berundur dan tidak menyedari mangsa berada di belakang dipercayai akibat bunyi bising enjin jentera pembersih ladang.

Menurut sumber, kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit antara belakang lori dan jentera pembersih ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian berlaku ketika jentera pembersih ladang sedang melakukan kerja penebangan pokok getah.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan bedah siasat dilakukan di Jabatan Forensik Hospital Jasin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 10:47 AM