PENGUAT kuasa KPDNHEP ketika menyerbu premis yang menjual barang kawalan melebihi harga sepatutnya. FOTO Ihsan KPDNHEP.
PENGUAT kuasa KPDNHEP ketika menyerbu premis yang menjual barang kawalan melebihi harga sepatutnya. FOTO Ihsan KPDNHEP.
Siti Rohana Idris


SEORANG pemborong di Ayer Lanas, Jeli dikesan menjual minyak masak melebihi harga kawalan oleh penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang menyamar pelanggan.

Susulan itu, premisnya diserbu pada 3 petang semalam dan pemborong berusia 53 tahun terbabit disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Ketua Cawangan KPDNHEP Tanah Merah Ahmad Azizi Abdul Kadir berkata, empat anggota dan pegawainya melakukan siasatan selepas menerima aduan awam mengenai salah laku pemborong itu.

Katanya, pemerhatian dibuat sebelum anggota menyamar dan membeli minyak masak paket satu kilogram itu yang dijualnya pada harga RM3.

“Sedangkan barang kawalan itu ditetapkan harganya pada RM2.50.

“Untuk itu, premis diserbu dan kami meminta pemilik mengemukakan maklumat pembelian bekalan sebelum mendapati buku stok barang kawalan itu tidak diselenggara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ahmad Azizi berkata, bagi kesalahan tidak menyelenggara buku stok barang kawalan, siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan menjual melebihi paras ditetapkan dan memberi gambaran mengelirukan, kes disiasat mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun.

Sejak Januari lalu, enam kes disiasat terhadap peniaga di Tanah Merah membabitkan nilai sitaan RM6,127.33

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2020 @ 4:24 PM