AZIZAN pastikan hukuman lebih berat dikenakan kepada penyeludup dalam menyelamatkan ketirisan wang subsidi Negara.
AZIZAN pastikan hukuman lebih berat dikenakan kepada penyeludup dalam menyelamatkan ketirisan wang subsidi Negara.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram turut diguna pakai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam menangani kes penyelewengan barang kawalan termasuk tong gas petroleum cecair (LPG) yang diseleweng ke negara jiran.

Ketua Seksyen Bekalan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Azizan Abdullah berkata, langkah itu adalah mengikut peruntukan subseksyen 4(1) Akta 613 berhubung kesalahan-kesalahan berat sedia ada yang disenaraikan di dalam Jadual Kedua Akta 613 iaitu seksyen 21 Akta 122, Peraturan 3 dan Peraturan 13 Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurutnya, tindakan melalui akta itu lebih tegas iaitu dengan membekukan akaun sindiket, menyita dan melucuthak hasil haram yang diperolehi atau dijana sepanjang aktiviti haram itu dilakukan.

"Ini termasuklah tindakan ke atas mana-mana pelaku atau individu mahupun syarikat yang terbabit dalam aktiviti penyelewengan LPG bersubsidi.

"KPDNHEP juga sedang mengadakan pindaan ke atas Akta Kawalan Bekalan 1961 dan subsidiari di bawahnya bertujuan memperketatkan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap individu yang melakukan kesalahan menyeleweng dan penyeludupan barang-barang kawalan bersubsidi ini," katanya.

Beliau mengulas pendedahan Harian Metro sejak Selasa lalu berhubung lambakan tong LPG subsidi Malaysia di Pulau Sebatik dan Nunukan, Indonesia yang mendapat permintaan tinggi oleh rakyat negara jiran.

Beliau berkata, individu yang disabitkan bagi kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 boleh dikenakan penalti iaitu dihukum denda tidak melebihi RM 1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi orang perseorangan atau denda tidak melebihi tiga juta ringgit atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali kedua.

"Manakala badan korporat, syarikat dan perbadanan yang melakukan kesalahan di bawah akta ini, boleh dihukum denda tidak melebihi RM 2 juta ringgit dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM 5 juta ringgit," katanya.

Menurutnya, KPDNHEP melalui Bahagian Penguat Kuasa menguatkuasakan Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 bagi mengambil tindakan ke atas kesalahan-kesalahan membabitkan penyelewengan mahupun penyeludupan barang-barang kawalan termasuk LPG.

"Selain tindakan proaktif, KPDNHEP meneruskan jalinan kerjasama secara berterusan bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain antaranya Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), agensi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan Kastam Diraja Malaysia melalui operasi bersepadu dilaksanakan.

"KPDNHEP turut melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara 'due diligence' melalui siasatan forensik dokumen dan pengauditan di semua rantaian pengedaran LPG iaitu di peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit LPG.

"Sehubungan itu, Kementerian menyeru orang ramai menjadi mata dan telinga kepada pihak kerajaan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak Kementerian berhubung kegiatan ini melalui hotline 1-800-886-800 atau 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir sendiri ke mana-mana KPDNHEP yang berhampiran supaya tindakan sewajarnya boleh diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 7:47 PM