Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NSTP
Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO NSTP
Suraya Roslan


PERSATUAN Ulama Malaysia (PUM) berpendapat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu diberikan ruang secukupnya untuk mencorakkan pentadbiran negara.

Yang Dipertuanya Datuk Abdul Halim Abdul Kadir berkata, segala dasar dan perkara yang baik perlulah disokong bersama dan hendaklah diberikan teguran ke arah kebaikan rakyat serta negara.

“PUM menghargai kesabaran dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) mengambil langkah bertemu secara individu dengan setiap ahli Parlimen untuk mendengar sendiri pandangan mereka mengenai calon Perdana Menteri baharu selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

“Sehubungan itu, PUM mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Semoga dengan pelantikan ini akan dapat melancarkan lagi perjalanan pentadbiran negara kita yang tercinta,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, sebagai langkah ke depan, PUM ingin menasihatkan seluruh rakyat Malaysia supaya menghormati serta mentaati keputusan yang dititahkan YDPA.

“Dalam masa yang sama, kita berharap Perdana Menteri kelapan dapat mengambil pendekatan berhemah dan terbaik bagi menyatukan seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama memberi fokus kepada pembangunan negara.

“Keutamaan penyatuan ini perlu diberikan perhatian segera terutama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 3:15 PM