Tan Sri Azam Baki.
Tan Sri Azam Baki.
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Tan Sri Azam Baki yang dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berikrar untuk meneruskan usaha mencegah rasuah secara berkesan dan profesional.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mencadangkan dan menasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang kemudian memperkenankan pelanjutan kontraknya.

"Saya pertama kali mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) atas perkenan Tuanku melanjutkan kontrak saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dan juga terima kasih saya kepada Perdana Menteri kerana mencadangkan atau menasihatkan YDPA kerana mengikut undang-undang mesti atas nasihat daripada Perdana Menteri," katanya kepada media ketika hadir majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di sini, hari ini.

Azam berkata, usaha mencegah rasuah akan diteruskan secara berkesan dan profesional mengikut strategi yang sudah direncanakan.

"Itu iltizam saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk meneruskan usaha ini dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Semalam, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu kenyataan memaklumkan Azam dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM berkuat kuasa esok.

Pelantikan semula Azam adalah untuk tempoh selama setahun dan diperkenankan oleh YDPA.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 1:52 PM