RASHID (kiri) ketika tiba di Terminal Feri Maharani. FOTO AHMAD ISMAIL
RASHID (kiri) ketika tiba di Terminal Feri Maharani. FOTO AHMAD ISMAIL
Ahmad Ismail


“BAGAI mati hidup semula,” kata Rashid Ramli, 38, nelayan yang selamat kembali ke Terminal Feri Maharani, Muar hari ini selepas tujuh hari berada di Kampung Pantai Desa Tambang, Bengkalis, Indonesia.

Pada 19 Februari lalu, Rashid dilaporkan hilang di perairan Rengit, Batu Pahat pada 11.30 malam apabila tidak pulang selepas keluar menangkap ikan pada kira-kira 7 pagi hari yang sama.

Dia bagaimanapun diselamatkan kumpulan nelayan Indonesia seterusnya dibawa ke kampung berkenaan kira-kira jam 7 malam 21 Februari lalu.

Menurut Rashid, dia seperti mendapat peluang kedua apabila diselamatkan oleh nelayan dari Indonesia selepas 72 jam terapung dalam keadaan kelaparan dan haus selepas bot fiber miliknya mengalami kerosakan enjin.

Katanya, dalam tempoh itu dia hanya mampu berdoa supaya hujan dan diselamatkan.

“Doa saya dimakbulkan Allah apabila hujan dan walaupun renyai-renyai, saya berjaya menadah air menggunakan botol plastik,” katanya.

Namun Rashid berkata dia tidak dapat melelapkan mata kerana bimbang dilanggar memandangkan perairan itu sibuk dengan kapal besar.

“Dalam masa yang sama, ada juga beberapa kali saya melambai-lambai kepada beberapa kapal dagang yang lalu untuk meminta bantuan tetapi mungkin mereka tidak nampak saya,” katanya.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang melancarkan urusan kepulangan ke tanah air termasuk pihak berkuasa kedua-dua negara dan komuniti nelayan negara jiran itu yang menyelamatkannya.

“Buat masa ini saya mahu berehat dan belum bersedia ke laut semula,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohamad Othman berkata, bot milik Rashid sudah dibaiki oleh nelayan Indonesia dan akan dibawa pulang ke perairan negara ini dalam masa terdekat.

Katanya, bot berkenaan hanyut sejauh 45 batu nautika dan memasuki perairan Indonesia sebelum diselamatkan oleh nelayan negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 7:44 PM