Omar Ahmad


Johor Bahru: Berpantang maut sebelum ajal, itu situasi dilalui sepuluh kru warga Indonesia apabila dua bot barter trade dinaiki mereka karam di dua lokasi berasingan di perairan Pulau Pisang, sekitar jam 4 pagi, semalam.

Pengarah APMM Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, mangsa terpaksa berdiri atas serpihan bumbung bot, kira-kira tiga hingga empat jam sebelum diselamatkan nelayan tempatan dan bot barter trade lain.

Katanya, kedua bot itu karam pada kedudukan 5.6 batu nautika dan 15.3 batu nautika barat daya Pulau Pisang, Pontian.

"Mengikut laporan awal kejadian, kedua-dua bot itu membawa muatan kelapa dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat. Bot itu berdepan dengan cuaca buruk serta hujan lebat sebelum karam.

"Bot pertama membawa enam kru lelaki warga Indonesia. Semua kru berjaya diselamatkan nelayan tempatan yang berada berhampiran sebelum dibawa ke Jeti Pontian Kecil.

"Manakala empat kru lelaki warga Indonesia dari bot kedua juga diselamatkan nelayan bot barter trade lain yang berada di kawasan berhampiran kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, APMM menggerakkan Bot Kilat 13 ke lokasi kejadian untuk mengambil empat mangsa dari bot kedua sebelum dibawa ke Zon Maritim Batu Pahat untuk tindakan lanjut.

Katanya, semua mangsa berusia antara 27 hingga 53 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kedua-dua bot itu karam itu juga didapati sudah tenggelam sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:01 PM
ENAM kru bot Barter Trade pertama berada diatas serpihan bumbung bot sebelum diselamatkan nelayan, selepas bot mereka karam di Perairan Pulau Pisang. FOTO ihsan Maritim Malaysia
ENAM kru bot Barter Trade pertama berada diatas serpihan bumbung bot sebelum diselamatkan nelayan, selepas bot mereka karam di Perairan Pulau Pisang. FOTO ihsan Maritim Malaysia