Empat nelayan berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar kapal dagang di perairan Muar. Foto Ihsan APMM
Empat nelayan berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar kapal dagang di perairan Muar. Foto Ihsan APMM
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Empat nelayan bergadai nyawa sebelum diselamatkan selepas terapung hampir enam jam apabila bot dinaiki mereka dilanggar sebuah kapal dagang di perairan Muar, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira 11 malam dan kesemua mangsa berusia 22 hingga 55 tahun berjaya ditemui sebelum diselamatkan pada 11 pagi tadi.

Terdahulu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menerima panggilan daripada Maritime Rescue Co-ordinating Centre (MRCC) memaklumkan kejadian terbabit.

Pengarah APMM Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, berdasarkan maklumat diterima pada 9 pagi tadi, mangsa terjatuh kira-kira 6.8 batu nautika barat daya muara Sungai Batu Pahat.

"Selepas menerima laporan berkenaan, sebuah bot dihantar ke lokasi bagi melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ke atas mangsa.

"Mereka berjaya ditemui pada 11 pagi tadi sebelum dibawa ke jeti APMM Batu Pahat, di sini, dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) bagi pemeriksaan kesihatan.

"Hasil siasatan awal mendapati bot nelayan berkenaan dilanggar oleh sebuah kapal dagang tidak dikenali berhampiran laluan kapal di perairan Muar.

"Bot terbabit kemudian dimasuki air pada 5 pagi tadi dan kesemua mangsa bertindak terjun ke laut bagi menyelamatkan diri," katanya.

Menurutnya, APMM menasihatkan orang ramai dan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti laut terutama ketika musim monsun ini.

Katanya, sebarang kejadian kecemasan di perairan Johor boleh menghubungi Hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Johor di talian 07-2199404 atau MERS 999 untuk bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Oktober 2020 @ 5:05 PM