AIMI berkongsi kisah sampannya yang hanyut hingga ke perairan Indonesia. FOTO Farid Noh
AIMI berkongsi kisah sampannya yang hanyut hingga ke perairan Indonesia. FOTO Farid Noh
Mohamed Farid Noh


NELAYAN dari Kampung Bumiputera Dalam, Rengit, dekat Batu Pahat, berdepan detik cemas apabila sampan dinaiki kehabisan bahan api sebelum hanyut lebih 24 jam sehingga ke sempadan perairan Indonesia.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu, Airil Jaimi, 37, dalam perjalanan pulang selepas menangkap ikan sejak 8 malam, namun sampan dinaikinya kehabisan bahan api, selain telefon bimbit dibawanya juga kehabisan bateri.

Airil berkata, pada mulanya dia tidak bimbang kerana yakin akan terserempak nelayan lain, namun ia tidak berlaku menyebabkan sampan dinaikinya terus dihanyutkan arus laut.

“Saya mulai bimbang apabila sampan dihanyutkan jauh sehingga ternampak Pulau Pisang berdekatan di perairan Pontian kira-kira 1 pagi.

“Saya cuba melambai tongkang serta kapal di laluan perairan namun kerana gelap tiada siapa yang nampak, malah saya berdoa supaya tongkang atau kapal lain tidak menghentam sampan dinaiki atau sampan terbalik berikutan gelombang kuat di tengah lautan.

“Dalam ketakutan dan kelaparan kerana tidak membawa bekalan makanan, saya akhirnya tertidur keletihan di atas sampan. Apabila tersedar hari sudah siang.

“Saya semakin ketakutan apabila sampan dinaiki sudah tiba di Beteng Empat iaitu sempadan perairan Indonesia kerana pihak maritim negara jiran amat tegas dengan nelayan luar,” katanya ketika ditemui NSTP di rumahnya, hari ini.

Terdahulu, Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat, Malik Faishal Ahmad menyampaikan sumbangan wang dan barang keperluan harian kepada Airil dan keluarganya.

Bercerita lanjut, Airil berkata, dia menanggalkan baju dipakai dan melambai ke udara bagi menarik perhatian tongkang dari Indonesia yang melalui perairan berkenaan.

Dia mampu menarik nafas lega apabila akhirnya sebuah tongkang membawa kelapa menghampirinya sebelum memberikan bantuan termasuk menambat sampan miliknya dan memintanya menaiki tongkang yang dalam perjalanan ke Batu Pahat itu.

“Saya amat bersyukur dan lega kerana doa supaya sentiasa dilindungi dimakbulkan Allah, malah 15 minit selepas diselamatkan ribut mulai melanda kawasan perairan berkenaan.

“Bayangkanlah jika saya tidak diselamatkan dan sampan dihentam ribut, mungkin nyawa saya tidak panjang,” katanya.

Airil berkata, Polis Marin Muar yang dimaklumkan kehilangannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum menemui tongkang Indonesia dan menunda sampannya sehingga tiba ke Jeti Maritim Malaysia (APMM) Batu Pahat kira-kira 2 petang Ahad lalu.

Katanya, dia trauma dengan kejadian berkenaan dan akan berehat seketika sebelum kembali semula turun ke laut minggu depan bagi mencari rezeki sebagai nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:58 PM