AHMAD Maslan. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Maslan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta memantau kemungkinan amalan politik wang menjelang sidang Dewan Rakyat, pada Isnin.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, ia berikutan mungkin berlaku ‘pembelian secara besar-besaran’ bagi memilih Perdana Menteri yang baharu.

“Pemantauan itu perlu dilakukan 24 jam pada hari ini (semalam), Sabtu, Ahad dan pagi Isnin sebelum bermulanya sidang khas Dewan Rakyat.

Ini kerana kita jangka ‘pembelian’ Ahli Parlimen bagi mendapat sokongan parti boleh berlaku.

“Apa pun kita harap ‘pembelian’ itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Karnival Muafakat Nasional di Kompleks PAS Kedah dekat Alor Setar, malam tadi.

Turut serta dalam ceramah itu, Naib Presiden PAS Idris Ahmad dan Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Sementara itu, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pembangkang Kedah berkata, pihaknya akur selepas Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan Datuk Seri Muhkriz Mahathir sebagai Menteri Besar dan barisan EXCO sedia ada.

Katanya, beliau sudah merujuk kepada pakar undang-undang dan mengesahkan ia boleh berlaku walaupun Bersatu keluar daripada PH.

“Menteri Besar hanya boleh hilang jawatan melalui dua cara sahaja iaitu sama ada beliau sendiri letak jawatan atau berlaku undi tidak percaya Dewan Undangan Negeri (DUN), jadi kita akur dengan kehendak undang-undang mengikut Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Semalam, Mukhriz mengumumkan mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH bagi mengekalkan EXCO sedia ada.

Mukhriz berkata, keputusan itu dicapai selepas semua parti bersetuju membentuk gabungan PH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kedah.

  • Lagi berita berkaitan desas-desus pakatan baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Februari 2020 @ 10:14 AM