DR Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasrudin. FOTO NSTP
DR Robert Ling Kui Ee dan Azman Nasrudin. FOTO NSTP
M Hifzuddin Ikhsan dan Nor Farhani Che Ad


DUA Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Kedah mengumumkan keluar parti dan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di peringkat Pusat.

ADUN Lunas, Azman Nasrudin dan ADUN Sidam, Dr Robert Ling Kui Ee mengumumkan peletakan jawatan mereka pada sidang media bersama yang diadakan di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sidam, Sungai Petani, hari ini.

Berikutan itu, mereka turut menyokong kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Kedah dan menjadi ADUN Bebas mesra kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ketika ini.

Ia kemudian diikuti sidang media PN pada 3 petang ini, yang dijangka disertai pimpinan PAS dan UMNO Kedah bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Ketika ini, PAS dan UMNO mempunyai 17 kerusi DUN Kedah dan tambahan dua kerusi PKR menjadikan jumlah dimiliki gabungan itu adalah 19 kerusi.

Jumlah 19 kerusi DUN Kedah itu sudah mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri baharu yang bakal menyaksikan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) campur Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hilang majoriti.

Minggu lalu, PAS Kedah mengumumkan keyakinan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Keyakinan itu bersandarkan semangat kerjasama Muafakat Nasional antara PAS dan UMNO yang kini memiliki 17 kerusi DUN, selain kepincangan dan permasalahan yang berlaku dalam kalangan ADUN PH ketika ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2020 @ 12:55 PM