FADHLINA (tengah) bersama dua anaknya. (Kanan) Mesej yang dikirim melalui WhatsApp. FOTO Zaid Salim.
FADHLINA (tengah) bersama dua anaknya. (Kanan) Mesej yang dikirim melalui WhatsApp. FOTO Zaid Salim.
Zaid Salim


KIRIMAN WhatsApp ‘Allah Tuhan ku, Islam agama ku, Muhammad nabi ku, al-Quran kitab ku, Kaabah kiblat ku dan mukmin saudara ku’ bagaikan petanda Allahyarham Mohd Nazri Yaacob, 43, akan meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

Allahyarham yang bekerja di unit keselamatan Bank Negara Malaysia (BNM) maut selepas dipercayai menjadi mangsa langgar lari di Lebuhraya Pantai Baru (NPE), Kuala Lumpur, pada 6.40 pagi, 10 Februari lalu.

Ketika kejadian, arwah yang menunggang motosikal dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja dari rumahnya di Subang Jaya, pada 6.30 pagi.

WhatsApp yang disusuli perkataan ‘Aamin In Shaa Allah’ itu dihantar ke kumpulan WhatsApp keluarga sehari sebelum kejadian.

Isteri arwah, Fadhlina Abd Rahman, 39, berkata, pada hari kejadian, arwah tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik.

“Selepas 10 minit meninggalkan rumah, saya dikejutkan berita suami ditemui terbabit kemalangan.

“Saya tidak tahu suami berlanggar dengan apa kerana ketika orang ramai membantu, hanya suami yang terbaring di atas jalan raya dan ramai yang mendakwa suami dipercayai menjadi mangsa lari,” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan Faedah Pengurusan Jenazah oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di rumah ibunya di Kampung Pulau Rusa, Kuala Terengganu, hari ini.

Penyerahan faedah berkenaan RM2,000 disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut hadir Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin.

Fadhlina berkata, pemergian arwah suami secara tiba-tiba meninggalkan kesan mendalam kerana arwah suami sangat bertanggungjawab dan menyayangi anak-anaknya.

Katanya, mereka mempunyai dua anak, Nurul Nabila, 14, yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) lembam, dan Muhammad Zulkarnain, 7.

“Saya akan menjaga zuriat ini dengan penuh kasih sayang. Terima kasih juga kepada PERKESO atas bantuan diberikan.

“Saya akan gunakan wang berkenaan untuk perbelanjaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Farihah berkata, keluarga arwah akan menerima Faedah Orang Tanggungan dianggarkan sebanyak RM3,500 setiap bulan bermula bulan depan.

“Isteri dan anak perempuan arwah yang OKU akan menerima seumur hidup, manakala anak lelakinya menerima sehingga usia 21 tahun atau menerima ijazah pertama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Februari 2020 @ 9:28 PM