Penerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP)  di Wisma Perkeso. FOTO Zaid Salim
Penerima faedah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) di Wisma Perkeso. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


“SAYA akan guna wang pencen penakat arwah suami RM2,567.50 ini sebagai modal bagi memulakan perniagaan keluarga sebagai sumber pendapatan kami,” kata Siti Halimah Abu Bakar, 57, dari Taman Perumahan Gong Badak 6, Kuala Nerus, Kuala Terengganu.

Menurut ibu kepada tiga anak berusia 20 hingga 30 tahun itu, dia bersyukur dengan bantuan diberikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi membantu keluarganya meneruskan kehidupan selepas kematian suami yang mengalami komplikasi buah pinggang, November lalu.

“Arwah suami bekerja dengan Utusan Malaysia (Utusan Melayu (Malaysia) Berhad) sebagai Eksekutif Pemasaran dan dia meninggal dunia ketika sedang bekerja.

“Selepas kematian suami, saya akui kehidupan kami terjejas apatah lagi ketiga-tiga anak saya tidak bernasib baik dalam kerjaya apabila diberhentikan kerja.

“Anak sulung saya, Mohd Hakim, 30, juga bekas pekerja Utusan Malaysia dan sudah berkahwin serta memiliki anak berusia setahun lebih manakala anak kedua, Siti Nurfitrah, 24, mengalami masalah rumah tangga juga memiliki seorang anak berusia lebih dua tahun.

“Anak ketiga saya, Siti Nurbaya, 20, kurang sihat kerana patah paha akibat kemalangan dua tahun lalu. Semua mereka termasuk seorang menantu tinggal bersama saya,” katanya.

Siti Halimah menerima pencen itu yang disampaikan Pengarah PERKESO negeri, Nora Yaacob pada satu majlis di Wisma PERKESO hari ini.

Menurutnya, dengan adanya bantuan pencen penakat yang diberi sepanjang hayat itu ia dapat dijadikan modal bagi memulakan perniagaan sebagai pendapatan tetap keluarga.

“Semua anak saya sudah bersetuju untuk membuka perniagaan kuih muih dan sebagai permulaan kami dahulukan dengan kuih tradisional dan akan mempelbagaikan sedikit demi sedikit,” katanya.

Selain Siti Halimah, faedah berkenaan turut diberikan kepada anak ketiganya sehingga wanita itu mencapai usia 21 tahun.

Sebelum ini, Siti Halimah turut menerima bantuan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Nora menasihati orang ramai supaya tidak malu untuk menghubungi PERKESO bagi mendapat maklumat lebih jelas berkaitan faedah yang disediakan kepada pencarum.

“Sepanjang 2018, PERKESO membelanjakan RM14.5 juta membabitkan pembayaran semua faedah yang disediakan PERKESO bagi Terengganu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 January 2019 @ 12:37 PM