PETUGAS kesiahatan menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing. FOTO ROHANIS SHUKRI
PETUGAS kesiahatan menjalankan saringan Covid-19 terhadap pekerja warga asing. FOTO ROHANIS SHUKRI
Nurul Hidayah Bahaudin


LEBIH 13,000 pekerja warga asing dalam sektor pembinaan menjalani ujian saringan Covid-19 melalui Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak ia dilaksanakan pada 27 April lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Dr Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan berkata, program itu dilaksanakan kepada pekerja asing di sektor pembinaan dan perkhidmatan kawalan keselamatan di Selangor dan Kuala Lumpur bagi memutuskan rantaian Covid-19.

"Seramai 33,613 pekerja warga asing membabitkan pelbagai sektor sudah menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 40 peratus adalah dari sektor pembinaan.

"Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Perkeso mengambil inisiatif untuk mengadakan sesi ujian saringan secara berkelompok bagi membolehkan kontraktor di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya serta Selangor menghantar pekerja mereka menjalani ujian terbabit.

"Inisiatif itu yang julung kalinya diadakan berjaya menarik penyertaan daripada 700 pekerja warga asing dari 59 syarikat kontraktor untuk menjalani ujian berkenaan di Pusat Konvensyen CIDB, hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melakukan tinjauan pada Program Saringan Covid-19 Pekerja Asing dalam Sektor Pembinaan di Pusat Konvensyen CIDB di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir dalam program itu adalah Ketua Eksekutif CIDB Datuk Ir Ahmad 'Asri Abdul Hamid dan Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Azis Mohammed.

Syed Omar berkata, skop PSP Perkso juga sudah diperluaskan melalui subsidi saringan sehingga RM150 bagi satu ujian kepada majikan bagi memastikan lebih banyak penyedia perkhidmatan saringan Covid-19 kepada pekerja bermula 1 Jun lalu.

"Majikan boleh menjalankan ujian saringan kepada pekerja yang layak di mana-mana klinik atau hospital diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kami menggesa semua kontraktor di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor untuk tampil menghantar semua pekerja warga asing untuk menjalani ujian saringan Covid-19 melalui program PSP Perkeso," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2020 @ 2:17 PM