M. Saravanan (kiri) bersama Fadillah (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed (dua kiri) dengan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid (dua kanan). FOTO Owee Ah Chun
M. Saravanan (kiri) bersama Fadillah (kanan) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed (dua kiri) dengan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid (dua kanan). FOTO Owee Ah Chun
Murnaena Muhammad Nasir


LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) membuka 6,564 kekosongan peluang kerjaya dalam sektor pembinaan kepada warga tempatan.

Bagi merealisasikannya, satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani CIDB dan Perkeso disaksikan Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Fadillah, kerjasama membabitkan latihan menerusi Akademi Binaan Malaysia dan CIDB Technologies bakal memberi peluang kerjaya kepada pekerja yang diberhentikan, graduan dan penganggur.

"Separuh daripada jumlah 6,564 kekosongan dalam sektor pembinaan itu merangkumi kategori dalam pengurusan, profesional, eksekutif dan juruteknik manakala selebihnya kategori pekerjaan lain daripada perkeranian hingga pekerjaan asas.

"Saya berharap graduan dan belia dapat memenuhi kekosongan ini," katanya selepas majlis menandatangani MoU itu.

Menurutnya, semua latihan yang dilaksanakan CIDB selaras dengan inisiatif kerajaan dalam memperkasa Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET)

"Sehingga kini, CIDB sudah melatih 146,357 belia dan 272,000 pekerja binaan dalam pelbagai bidang kemahiran berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan guna tenaga kerja industri pembinaan negara.

"Malah, di bawah Program Perantisan Industri Pembinaan yang diperkenalkan, 90 peratus daripada 4,176 perantis industri sudah diserap bekerja dalam sektor pembinaan," katanya.

Sementara itu, Saravanan berkata, kerjasama CIDB dan Perkeso adalah wajar dalam meningkatkan perkembangan ekonomi negara.

"Saya sambut baik kerjasama yang dijalankan terutamanya dari segi perkongsian maklumat dan kepakaran melalui pengumpulan data majikan terutama kekosongan pekerjaan yang diperlukan dalam sektor pembinaan.

"Kerjasama ini juga akan menggalakkan semua kontraktor dan pekerja yang berdaftar dengan CIDB berdaftar dengan Perkeso, seterusnya menawarkan jawatan kosong di Portal Pekerjaan Negara, MyFutureJobs," katanya.

Tambahnya, usahasama ini akan memberikan manfaat kepada pekerja-pekerja yang terkesan akibat Covid-19 melalui penempatan pekerjaan semula dan latihan tambah kemahiran (upskilling) atau latih semula (reskilling).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 6:24 PM