TAHAP kecergasan Messi masih menjadi persoalan. -FOTO Reuters
TAHAP kecergasan Messi masih menjadi persoalan. -FOTO Reuters
Reuters

Houston: Peluang kapten Argentina, Lionel Messi untuk diturunkan pada perlawanan suku akhir Copa America menentang Ecuador di Stadium NRG di Houston Sabtu ini masih menjadi persoalan kata jurulatih Lionel Scaloni.

Messi mengalami kecederaan hamstring kanannya ketika perlawanan menentang Chile, tidak bermain dalam perlawanan kumpulan terakhir menentang Peru, di mana Scaloni juga turut terlepas perlawanan itu kerana dikenakan hukuman satu perlawanan oleh CONMEBOL.

"Kami akan menunggu beberapa jam sebelum membuat keputusan. Selalunya lebih baik menunggu sehari lagi.

"Kami akan memutuskan berdasarkan maklum balas yang kami dapat hari ini," kata Scaloni pada sidang media selepas Messi dilihat berlatih bersama pasukan.

"Kami akan cuba untuk menurunkannya bermain dan jika dia tidak dapat, kami akan cuba mencari yang terbaik untuk pasukan. Saya akan berbincang dengannya hari ini, saya rasa adalah adil jika dia mengambil masa dan berlatih sebanyak yang dia boleh."

Juara bertahan Argentina berusaha untuk memenangi Copa America buat kali ke-16, iaitu rekod tertinggi dalam sejarah kejuaraan berkenaan.

Mereka akan berhadapan Ecuador yang mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menamatkan aksi di tempat kedua dalam Kumpulan B hasil keputusan seri 0-0 dengan Mexico.

"Ecuador adalah pasukan terlatih dan mempunyai pemain yang baik serta memiliki seorang jurulatih yang baik. Mereka adalah salah satu pasukan terbaik dalam Copa America. Mereka mempunyai peluang untuk memenangi gelaran ini," kata Scaloni.

Jurulatih Argentina itu menambah bahawa kejohanan itu sudah terbukti sebagai kejohanan peringkat tertinggi dan tiada pasukan pilihan untuk memenangi mahkota.

"Sesiapa sahaja boleh mara ke final dengan mudah dan bersaing dengan yang terbaik di dunia. Perlawanan semalam antara Colombia dan Brazil adalah standard yang sangat tinggi. Uruguay juga bermain dengan sangat baik, tidak menghairankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 7:19 AM