AZMAN (tengah) pada Sidang media pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2019 Johor di Hotel New York. FOTO Omar Ahmad
AZMAN (tengah) pada Sidang media pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2019 Johor di Hotel New York. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


PURATA Nilai Gred Kumulatif (PNGK) pencapaian Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Johor 2019 meningkat 0.03 mata atau 2.87 mata berbanding tahun lalu 2.84 mata.

Pengarah Pelajaran Johor, Azman Adnan berkata, dari segi kelulusan peringkat prinsipal bagi 2019, peratus calon yang lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran adalah 99.16 peratus.

Katanya, PNGK itu dihitung berdasarkan kepada nilai gred bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am yang menyaksikan Johor merekodkan peningkatan berterusan selama empat tahun dalam keputusan peperiksaan itu.

“Pada 2019, seramai 114 calon mendapat PNGK 4.00 berbanding dengan 82 calon pada 2018 iaitu peningkatan seramai 32 calon.

“Daripada jumlah itu, 92 calon adalah dari aliran sastera dan 22 calon dari aliran sains.

“Seramai 171 calon lulus penuh lima mata pelajaran; 3,701 lulus penuh empat mata pelajaran; 632 lulus penuh tiga mata pelajaran; 295 lulus penuh dua mata pelajaran dan 128 lulus penuh satu mata pelajaran,” katanya pada sidang media Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM 2019 di Hotel New York, hari ini.

Menurut Azman, jumlah calon yang mendapat lulus penuh lima dan empat mata pelajaran juga meningkat sebanyak 1.55 peratus iaitu membabitkan 3,535 calon pada 2018 kepada 3,872 calon pada 2019.

Katanya, sekolah yang menghasilkan calon cemerlang paling ramai adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Johor Jaya (1), Pasir Gudang iaitu seramai 13 orang diikuti SMK Sultan Ibrahim, Kulai seramai enam orang.

“Dua calon negeri Johor iaitu Oon Men Joo dari SMK Taman Johor Jaya (1), Pasir Gudang dan Lee Jia Long dari SMK Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai menerima anugerah pelajar terbaik peringkat kebangsaan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 2:46 PM