Rozaini Ahmad
Rozaini Ahmad
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Kedah yang lulus penuh pada 2021 menurun kepada 98.92 peratus atau 2,563 calon berbanding 98.96 peratus atau 3,036 calon pada 2020.

Pengarah Pelajaran Kedah, Rozaini Ahmad berkata keputusan itu adalah penurunan sebanyak 0.04 peratus bagaimanapun melepasi peratus lulus penuh kebangsaan yang ditetapkan iaitu sebanyak 98.63 peratus.

Katanya, sebanyak 40 pusat peperiksaan atau sekolah berjaya mencapai lulus penuh 100 peratus berbanding 41 pusat peperiksaan dengan pencapaian sama dalam STPM 2020 iaitu berlaku penurunan sebanyak 4.01 peratus.

"Secara keseluruhannya pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) bagi negeri Kedah dalam STPM 2021 meningkat 0.01 peratus iaitu 2.85 berbanding 2.84 pada 2020. Pencapaian ini juga berjaya mengatasi pencapaian peringkat kebangsaan sebanyak 0.06 (GP Kebangsaan adalah 2.79).

"Seramai 58 orang calon STPM 2021 memperolehi Purata Nilai Keseluruhan (PNGK) 4.00 dari 25 pusat peperiksaan berbanding 57 calon pada 2020 iaitu peningkatan sebanyak 0.38 peratus," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rozaini berkata jumlah calon yang menduduki STPM 2021 adalah seramai 2,596 calon iaitu 2,591 calon adalah calon sekolah kerajaan.

"Secara keseluruhannya bagi negeri Kedah, 21 daripada 23 mata pelajaran ditawarkan dalam peperiksaan STPM 2021, sebanyak sembilan mata pelajaran meningkat prestasinya manakala 12 mata pelajaran menurun berbanding keputusan STPM 2020.

"Sebanyak 13 buah pusat peperiksaan mendapat keputusan cemerlang dengan menerima GPS 3.0 ke atas. Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam STPM 2021," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 3:43 PM