MISTIRINE Radin (kiri) menyampaikan Sijil Kecemerlangan Sekolah sempena Anugerah Sekolah Cemerlang STPM kepada salah seorang wakil guru. FOTO Recqueal Raimi
MISTIRINE Radin (kiri) menyampaikan Sijil Kecemerlangan Sekolah sempena Anugerah Sekolah Cemerlang STPM kepada salah seorang wakil guru. FOTO Recqueal Raimi
Recqueal Raimi

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Klias, Beaufort meraih Gred Purata Sekolah (GPS) tertinggi di Sabah menerusi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2019.

Sekolah terbabit antara 67 buah sekolah di negeri ini yang mencapai kelulusan 100 peratus dan dibahagikan kepada tiga kategori berdasarkan jumlah calon berdaftar di setiap sekolah iaitu satu sehingga 49 calon, 50 sehingga 99 calon serta 100 calon dan ke atas.

Pengarah Pendidikan Sabah, Mistirine Radin berkata, seramai 7,036 calon yang menduduki peperiksaan STPM 2019 berbanding 6,782 pada 2018.

“Daripada jumlah itu, 6,956 calon atau 98.86 peratus mendapat keputusan lulus penuh pada 2019 berbanding 6,705 calon atau 98.78 peratus pada 2018.

“Ini bermakna, sekolah yang mencapai lulus penuh di Sabah menunjukkan peningkatan sebanyak 0.07 peratus,” katanya ketika Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2019 di Dewan SMK Tamparuli di Tuaran, hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah, Jennifer Lasimbang.

Mistirine berkata, bagaimanapun Gred Purata Nilai Kumulatif (GPNK) di Sabah menunjukkan penurunan 0.02 kepada 2.67 pada 2019 berbanding 2.69 pada 2018.

“Bagi pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) pula, sebanyak 12 PPD melepasi PNGK negeri (2.67) daripada 24 PPD di Sabah.

“PPD yang menunjukkan jumlah PNGK tertinggi adalah dari daerah Kunak (2.67), Semporna (2.82), Tuaran (2.82), Tawau (2.81), Penampang (2.80), Sandakan (2.77), Beluran (2.76), Beaufort (2.73), Lahad Datu (2.73), Sipitang (2.69), Kudat (2.68) dan Papar (2.68),” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 51 calon STPM 2019 di negeri ini memperoleh keputusan PNGK 4.00.

NURHARDIA Adlina dari SMK Putatan Penampang, menerima keputusan STPM cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00. FOTO Recqueal Raimi
NURHARDIA Adlina dari SMK Putatan Penampang, menerima keputusan STPM cemerlang Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00. FOTO Recqueal Raimi

Sementara itu, salah seorang penerima keputusan STPM PNGK 4.00, Nurhardia Adlina Raymie, 20,dari SMK Putatan Penampang, teruja menerima keputusan cemerlang dan berkongsi kaedah pembelajaran.

“Di rumah, saya hanya fokus mengulang kaji manakala di sekolah pula, saya belajar berkumpulan.

“Saya dan rakan-rakan lain tidak malu bertanya antara satu sama lain serta rajin bertanyakan guru,” katanya.

Menurutnya pihak sekolah turut mengadakan kelas pada waktu malam dan kelas tambahan pada setiap hari Sabtu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Februari 2020 @ 6:48 PM