NUR Raidah (dua kiri) bersama keluarga. FOTO Nuraliawati Sabri
NUR Raidah (dua kiri) bersama keluarga. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri


Melaka: "Kejatuhan masa lalu membuatkan saya bangkit dan buktikan saya boleh lakukan yang terbaik," luah Nur Raidah Abdul Majid, yang memperoleh purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021, hari ini.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Tanjong itu, meluahkan rasa gembira dan syukur apabila usahanya itu berjaya menebus kekecewaan sebelum ini.

Nur Raidah, 20, antara 33 calon STPM 2021 di Melaka yang memperoleh PNGK 4.0.

"Meskipun keputusan SPM lalu saya mendapat 4A tetapi tidak mencapai sasaran dan itu membuat saya kecewa dan nekad perlu menebusnya kembali.

"Alhamdulillah, berkat doa ibu ayah serta guru saya mampu lakukannya. Saya akui ini tanggungjawab besar untuk diri kerana sebagai anak bongsu ini peluang terkahir ibu serta ayah untuk merasai saat ini," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2021 Melaka, di SMK Seri Tanjong, hari ini.

Katanya, kejayaan hari ini juga secara tidak langsung dapat membalas pengorbanan, masa dan jasa kedua ibu bapanya yang tidak jemu memberi semangat serta dorongan.

Bagi seorang lagi pelajar yang turut memperoleh PNGK 4.0, Lim Sze Ling dari SMK Pulau Sebang, keputusan dibuatnya untuk mencabar tahap keupayaan di peringkat STPM nyata membuahkan hasil dengan kejayaan diperolehnya apabila turut menjadi antara 10 pelajar terbaik STPM peringkat Nasional.

"Bagi saya STPM adalah peluang yang sangat bagus sebelum melangkah ke universiti, walaupun keputusan SPM saya 10A1C tetapi saya memilih meneruskan di STPM.

"Pada awalnya memang tidak sangka dan terkejut apabila melihat keputusan. Ibu terutamanya turut gembira dan dengan keputusan ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Rosni Leman berkata, daripada 1,131 pelajar yang hadir dan menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2021 33 memperoleh PNGK 4.0.

"Gred Purata Negeri STPM 2021 bagi Melaka adalah 2.85 manakala Gred Purata Peringkat Nasional pula 2.79 mata selain 11 daripada 17 sekolah pula merekodkan kelulusan penuh 100 peratus.

"Peratusan calon STPM yang lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran adalah seramai 1,109 calon atau 99.03 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 7:58 PM