YUSOF (kanan) melihat geduk berusia lebih 100 tahun yang rosak kerana kulitnya hilang dipercayai dicuri. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
YUSOF (kanan) melihat geduk berusia lebih 100 tahun yang rosak kerana kulitnya hilang dipercayai dicuri. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli.
Ahmad Rabiul Zulkifli


KARIAH Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh, Tepoh, Kuala Nerus mendakwa kulit geduk yang hilang sejak kelmarin, dipercayai dicuri untuk kegiatan syirik.

Seorang jemaah, Abdullah Embong, 60, berkata, geduk itu sudah digunakan masjid turun temurun dan berusia lebih 100 tahun, namun tidak pernah alami kerosakan begitu.

Katanya, dia difahamkan ada pihak yang mendakwa kulit geduk itu mujarab sebagai pelaris perniagaan dan tangkal.

“Ia sangat mengecewakan kami dan sepatutnya alat tradisional ini tidak dirosakkan.

“Saya juga sangat terkilan kerana di zaman moden ini dan ilmu agama tersebar meluas, masih ada yang percaya terhadap perkara karut dan tahyul,” katanya ketika ditemui di masjid itu, hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Al-Mustaqim Kampung Gemuroh, Yusof Mohamad, 48, berkata, dia masih ingat kenangan menemani arwah datuknya, Mahmud Mat Jin menukar kulit geduk itu ketika berusia lima tahun.

“Geduk itu memang berusia lebih 100 tahun tetapi kulit geduk daripada kulit kerbau yang digunakan sekarang adalah kulit kedua menggantikan kulit asal lebih 40 tahun lalu.

“Penukarannya kerana kulit lama sudah rosak tapi bukannya rosak kerana dicuri seperti ini,” katanya yang memaklumkan tanggungjawab menukar kulit geduk itu akan dilakukan dalam masa terdekat.

Penggunaan geduk menjadi tradisi kariah itu dan masih digunakan walaupun berlubang, malah kayu pemukulnya juga daripada testis lembu yang diawet.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 5:48 PM