ANWAR melakukan gimik perasmian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di sini. FOTO Danial Saad
ANWAR melakukan gimik perasmian pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid Mengkuang Titi di sini. FOTO Danial Saad
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Kerajaan meluluskan peruntukan RM5.4 juta bagi melengkapkan dana membina Masjid Mengkuang Titi di Kubang Semang, di sini, yang kerja pembangunannya dijangka bermula tahun hadapan.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya memuji inisiatif kariah yang mengambil langkah proaktif mengumpul dana sehingga RM2.5 juta daripada masyarakat setempat.

Anwar berkata, pembinaan masjid itu sebenarnya menelan belanja RM9 juta secara keseluruhannya yang mana suku daripada peruntukan itu sudah dikumpul pihak kariah.

"Istimewanya Mengkuang Titi (kariah) dia ambil langkah sendiri dengan bincang dengan pegawai di ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) MOF (Kementerian Kewangan), mereka beri satu perhatian bahawa masyarakat dan kariah ini antara yang sangat proaktif dengan mengambil ikhtiar dari awal sehingga berjaya kutip RM2.5 juta.

"Ini satu jaminan (kepada masyarakat) dan usaha mereka sangat hebat apatah lagi, penubuhan masjid ini adalah tanggungjawab bersama dan memakmurkan masjid itu seruan kepada semua," katanya pada Majlis Peluncuran Pembangunan Masjid berkenaan, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Perdana Menteri berkata, kerajaan Pulau Pinang turut menyalurkan dana sebanyak RM1.1 juta bagi membantu membina masjid berkenaan yang dijadualkan siap pada 2025.

Anwar berkata, projek masjid itu kelak diharapkan didirikan dengan niat yang betul dan bukannya semata-mata mempamerkan kebanggaan serta kemegahan.

"Masjid ada dua kategori, didirikan dengan semangat ketakwaan dan satu lagi masjid yang bawa kemungkaran.

"Oleh itu, kena ingat jawatankuasa masjid perlu mengusul kegiatan untuk mengimarahkan masjid, bawa kefahaman agama, angkat martabat umat terhadap kefahaman mereka serta mengelak kepada perpecahan," katanya.

Kariah Mengkuang Titi asalnya adalah sebahagian daripada kariah Mengkuang Semarak dengan penduduk dianggarkan berjumlah 6,000 orang.

Dengan reka bentuk bangunan dua tingkat, Masjid Mengkuang Titi dibina di tanah berkeluasan 1.29 hektar milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) dijangka mampu menampung sejumlah 1,500 jemaah pada satu-satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2023 @ 3:26 PM