Afzanizar (tengah) menunjukkan barangan curi yang dirampas daripada Geng Fius, hari ini. FOTO Amir Mamat
Afzanizar (tengah) menunjukkan barangan curi yang dirampas daripada Geng Fius, hari ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


POLIS berjaya menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Fius’ yang aktif dalam kegiatan pecah rumah, kedai dan mencuri kenderaan di sekitar Melaka Tengah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, ia susulan penahanan 10 ahli termasuk seorang ketuanya menerusi operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah sejak awal bulan ini.

Beliau berkata, mereka yang berusia antara 22 hingga 43 tahun, termasuk seorang wanita itu ditahan di lokasi berlainan sejak 9 Februari hingga 16 Februari lalu membabitkan di sebuah rumah Pulau Gadong, Ayer Keroh, Paya Rumput, Klebang Besar, Taman Bukit Katil, dan Taman Klebang Kecil.

“Dengan tertangkapnya ketua kumpulan itu yang berusia 27 tahun pada 9 Februari lalu, membawa kepada lima lagi siri tangkapan susulan.

“Kumpulan itu aktif melakukan jenayah di sekitar daerah ini sejak April tahun lalu,” katanya pada sidang media di IPD Melaka Tengah yang turut dihadiri Timbalannya, Superintendan Raiz Mukhliz Azman Aziz, di Melaka, hari ini.

Afzanizar berkata, modus operandi kumpulan itu adalah mensasarkan rumah kedai atau kediaman dan kemudian suspek akan menanggalkan fius luar rumah bagi memutuskan bekalan elektrik.

“Apabila fius ditanggalkan, bekalan elektrik terputus, sekali gus mematikan kamera litar tertutup (CCTV) serta sistem penggera keselamatan yang terdapat di kediaman atau premis.

“Suspek turut dikatakan bukan sahaja mengambil barangan berharga di rumah atau premis, tetapi turut melarikan kenderaan jika menemui kunci,” katanya.

Berikutan itu, polis merampas komputer riba, i-pad, kotak alatan membaiki kereta, alat ganti motor dan lima kenderaan termasuk dua motosikal membabitkan nilai keseluruhan RM220,000.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah selain turut mempunyai beberapa rekod jenayah lampau,” katanya.

Katanya, dengan tertangkapnya kumpulan penjenayah itu, polis berjaya menyelesaikan 24 kes yang dilaporkan di sekitar daerah itu.

Semua suspek masih dalam tahanan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) dan 379A KK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 3:20 PM