Amir Mamat

Melaka: Sekumpulan penjenayah dikenali sebagai `Geng Bhai' dikesan aktif memecah masuk kawasan pembinaan dan mencuri peralatan pembinaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 21 hingga 45 tahun yang menganggotai Geng Bhai bagaimanapun diberkas polis hasil dua serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana dan sebuah hotel di Batu Berendam, di sini, Khamis lalu.

Menurutnya, kumpulan terbabit dikesan aktif sejak PKP 1.0 Mac tahun lalu dan sudah melakukan sembilan aktiviti pecah masuk tapak pembinaan sekitar Tanjung Minyak, Tengkera dan Malim di sini, membabitkan kehilangan peralatan bernilai RM500,000.

"Modus operandi kumpulan ini adalah dengan menyasarkan tapak pembinaan yang ditinggalkan sepanjang PKP dan tidak mempunyai pengawal keselamatan

AFZANIZAR (kanan) menunjukkan hasil rampasan kes kecurian barangan kontraktor di tapak pembinaan anggaran kerugian sehingga RM500,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad
AFZANIZAR (kanan) menunjukkan hasil rampasan kes kecurian barangan kontraktor di tapak pembinaan anggaran kerugian sehingga RM500,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Melaka Tengah, Melaka. FOTO Syafeeq Ahmad

"Kumpulan ini juga turut dikesan memecah masuk sebuah rumah contoh di Tanjung Minyak serta mencuri pelbagai perabot serta barangan berharga yang ada di dalam rumah berkenaan," katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, tadi.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki berusia 21 hingga 45 tahun di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana, manakala ketua geng berkenaan iaitu Bhai dan teman wanitanya berusia 22 tahun ditahan di sebuah hotel di Batu Berendam.

Beliau berkata bahan binaan, jentera dan peralatan yang dicuri di tapak pembinaan dijual kepada individu yang berminat dan selain dipercayai turut dijual kepada kedai barangan lusuh.

Katanya, ketua geng berkenaan mempunyai 12 rekod lampau membabitkan jenayah dan 10 kes membabitkan dadah, manakala empat lagi ahli geng berkenaan turut mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Afzanizar berkata, kesemua suspek adalah penganggur dan hasil barangan curi berkenaan digunakan untuk menampung belanja harian serta membeli dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 5:00 PM