ANTARA suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian di sebuah rumah di Paya Rumput Perdana. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA suspek yang ditahan dipercayai terbabit dalam aktiviti perjudian atas talian di sebuah rumah di Paya Rumput Perdana. FOTO IHSAN POLIS
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seramai 12 individu termasuk tiga wanita dicekup polis selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian di sebuah rumah di Paya Rumput Perdana, petang Jumaat lalu.

Kesemua mereka ditahan jam 6.30 petang oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah menerusi Op Dadu/ Covid-19.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kesemua ditahan berusia antara 18 hingga 28 tahun dipercayai menjalankan aktiviti promosi perjudian dalam talian tanpa lesen yang sah.

"Dengan tertangkapnya kesemua suspek kita berjaya melumpuhkan aktiviti itu menjadikan kediaman terbabit pusat panggilan untuk mempromosikan perjudian.

"Siasatan dijalankan mendapati aktiviti tidak bermoral ini aktif sejak sebulan lalu dan suspek dibayar gaji antara RM2,500 hingga RM3,000 sebulan," katanya.

Menurut beliau, kumpulan ini dikatakan mensasarkan golongan muda yang hendak memulakan kerjaya untuk bekerja dengan mereka bagi mempromosi aktiviti perjudian.

"Selain tangkapan, polis turut merampas tiga set komputer riba dan 26 telefon bimbit pelbagai jenama disyaki digunakan dalam aktiviti mempromosi perjudian.

"Selain itu suspek juga dikatakan menganjurkan tambah nilai dalam talian perjudian dengan menjadi agen," katanya.

Afzanizar berkata, siasatan dijalankan juga mendapati modus operandi sindiket ini menggunakan medium laman sosial seperti Facebook dan WhatsApp untuk mempromosikan aktiviti perjudian selain transaksi bayaran pula hanya melalui perbankan dalam talian sahaja.

"Kesemua suspek kini direman selama lima hari sehingga 11 Ogos bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 7:34 PM