Afzanizar tengah) menunjukkan kenderaan yang dicuri Geng Marcus pada sidang media di IPD Melaka Tengah.FOTO Amir Mamat
Afzanizar tengah) menunjukkan kenderaan yang dicuri Geng Marcus pada sidang media di IPD Melaka Tengah.FOTO Amir Mamat
Amir Mamat


POLIS berjaya menumpaskan Geng Marcus iaitu kumpulan curi kereta dan samun bersenjata yang aktif di daerah Melaka Tengah sejak November tahun lalu.

Geng Marcus dianggotai enam sekawan itu diberkas polis selepas dikesan mendalangi lima kes di daerah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek pertama yang juga ketua kumpulan itu dikenali Marcus berusia 34 tahun ditahan pada 20 Januari lalu selepas beberapa jam melarikan kenderaan jenis Honda HRV di Jalan Gajah Berang, di Melaka.

Menurutnya, pemilik kenderaan yang juga seorang wanita membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera.

“Mangsa mendakwa meninggalkan kenderaannya itu dalam keadaan enjin masih hidup di tepi jalan bagi menghantar hamper di sebuah premis di kawasan berkenaan.

“Susulan laporan itu, sepasukan anggota polis digerak memburu suspek sebelum berjaya menemui lokasi persembunyian Marcus di sebuah hotel bajet di Bandar Melaka jam 8.30 malam hari sama.

“Polis menemui semula kenderaan yang dicuri berserta beg milik wanita terbabit. Hasil siasatan, Marcus mempunyai 12 rekod lampau membabitkan dadah dan curi kenderaan,” katanya pada sidang medianya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Melaka, hari ini.

Susulan penangkapan itu, katanya, polis berjaya memberkas lima lagi ‘rakan kongsi’ Marcus dengan empat daripadanya adalah lelaki berusia antara 27 hingga 37 tahun di sebuah rumah di Melaka Tengah, jam 11 malam hari sama.

Afzanizar berkata, seorang wanita berusia 37 tahun dipercayai ahli kumpulan terbabit turut ditahan pada 22 Januari lalu sekitar jam 1.30 tengah hari.

“Polis merampas tiga kereta jenis Honda HRV, Honda City dan Toyota Vios disyaki dicuri, selain motosikal dipercayai milik satu daripada suspek.

“Turut dirampas dua beg yang disamun, beberapa telefon bimbit serta pisau yang dipercayai digunakan untuk tujuan samun.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan bersenjata yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 January 2020 @ 11:50 AM