LORI yang dipandu mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rantau Abang. FOTO Rosli Ilham
LORI yang dipandu mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rantau Abang. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


PEMANDU parah manakala kelindan cedera selepas lori dinaiki terbabas dan merempuh dua treler di Kilometer 62, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Rantau Abang, Dungun, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 6.40 pagi itu, pemandu Mohd Yusry Salleh, 40, yang tersepit lebih setengah jam patah bahu kanan.

Sementara, kelindan, Muhammad Asyraf Masri, 19, yang tercampak dari kenderaan itu cedera di bahagian dalaman badan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila lori muatan buku yang dipandu mangsa dari arah Dungun ke Kuala Terengganu terbabas ke kiri jalan.

PEMANDU lori yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. FOTO Rosli Ilham
PEMANDU lori yang parah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut. FOTO Rosli Ilham

“Berikutan itu, lori berkenaan melanggar dua treler yang ketika itu berhenti di tepi jalan menyebabkan kenderaan dipandu mangsa terbalik.

“Rempuhan kuat menyebabkan kelindan lori tercampak keluar, manakala pemandunya tersepit di tempat duduk,” katanya.

Baharudin berkata, sepasukan lapan anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun terpaksa dipanggil bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

“Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut dan mereka dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1)A Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Februari 2020 @ 2:35 PM