Rosli Ilham

Dungun: Pemandu lori dan kelindannya maut selepas terbabit kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 11, Jalan Dungun-Bukit Besi dekat Kampung Serdang, hari ini.

Dalam kemalangan pada 3.30 petang itu, Mohd Shahrul Hafif Abd Kadir, 37, yang memandu lori jenis Hino dan kelindannya, Ridzuan Mohamad, 43, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sebelum kejadian, mangsa bersama sebuah lagi lori jenis sama dinaiki Safee Seman, 54, dan Aminuddin Nawi, 50, dalam perjalanan menghantar bekalan kayu di Kampung Balai Besar Dungun.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, lori dipandu Safee dikatakan berhenti di persimpangan di untuk keluar ke kanan jalan.

"Ketika itu, lori yang dinaiki mangsa yang berada di belakang, dipercayai hilang kawalan, lalu merempuh belakang lori Safee.

"Rempuhan menyebabkan kenderaan meluncur ke depan dan dilanggar Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 31 tahun, dari arah Dungun ke Bukit Besi.

"Dua mangsa tertusuk muatan kayu dan parah pada dada sebelum meninggal dunia," katanya.

Maizura berkata, pasukan Balai Bomba dan Penyelamat Dungun hadir ke lokasi untuk membantu mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit sebelum mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk dibedah siasat.

"Pemandu kereta serta pemandu dan kelindan sebuah lagi lori yang cedera dihantar ke hospital sama untuk rawatan," katanya yang memberitahu kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

ANGGOTA bomba mengangkat mayat seorang daripada mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada lori. FOTO Rosli Ilham.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat seorang daripada mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada lori. FOTO Rosli Ilham.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 November 2023 @ 8:47 PM