Keadaan treler yang terbabas mengorbankan Safuan di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Pagoh - Yong Peng. FOTO Essa Abu Yamin
Keadaan treler yang terbabas mengorbankan Safuan di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Pagoh - Yong Peng. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Seorang kelindan maut selepas treler yang dinaikinya terbabas di Kilometer 115 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Pagoh-Yong Peng jam 9 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, mangsa dikenali sebagai Safuan Abdullah, 27, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru apabila treler dipandu, Mohamad Ikram Abu Seman, 33, terpaksa membelok ke kiri lebuh raya kerana mengelak sebuah lagi lori yang membrek secara mengejut di hadapannya.

“Sampai di lokasi kemalangan, dipercayai sebuah lori di hadapannya brek mengejut dan pemandu treler yang membawa muatan beras itu gagal mengelak hingga hilang kawalan dan terbabas ke tepi jalan menyebabkan pemandu serta kelindannya tercampak keluar.

“Pemandu hanya cedera ringan manakala kelindannya disahkan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat tersepit di bawah treler. Semasa kejadian, cuaca adalah baik," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(10 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu treler terbabit kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 5:44 PM