MANGSA maut di tempat kejadian. (Gambar kecil) Khairulniza. FOTO Amran Yahya
MANGSA maut di tempat kejadian. (Gambar kecil) Khairulniza. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya

KAUNSELOR Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Khairulniza Mohd Salleh, 33, maut selepas kereta dipandunya terbabit kemalangan di Kilometer 2 Jalan Simpang Dangi - Bahau, hari ini.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian selepas Perodua Aruz dipandu terbabas berhampiran persimpangan Kampung Tulang Rimau.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani berkata, kenderaan dipandu mangsa dari arah Dangi menuju ke Rembau dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh dan terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kenderaan terbalik menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di badan serta kepala,” katanya ketika dihubungi.

Amran berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi.

“Mayat dibawa ke bahagian forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 10:16 PM